Posted on Friday, July 10 @ 18:00:00 PDT by AbuJihad

"

PARLIMEN Silam merupakan salah satu kawasan yang mempunyai penduduk termiskin paling ramai namun saya tidak mempunyai peruntukan yang mencukupi untuk menyediakan pakej Projek Bantuan Rumah (PBR) untuk mereka.
Sekalipun Felda ada menyalurkan sejumlah RM25 juta untuk membina projek Perumahan Rakyat Termiskin, namun masalah tapak masih menjadi masalah utama kerana tapak yang sedia ada di Sabah Baru masih menjadi pertikian.
Sehubungan itu saya telah mengemukakan soalan di Parlimen pada 30 Jun 2009 untuk mendapat penjelasan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berapakah bilangan unit rumah yang telah dapat disiapkan bagi tempoh tahun 2000 hingga 2008 di bawah skim perumahan untuk rakyat termiskin dan apakah usaha-usaha yang telah diambil oleh pihak kementerian untuk memastikan setiap rakyat mampu memiliki rumah.
Bagaimanapun, oleh kerana Menteri mempunyai jadual yang sibuk, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah ll [Tuan Joseph Entulu anak Belaun] telah menjawab pertanyaan saya seperti berikut:

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih Yang Berhormat Silam.
Bagi tempoh tahun 2000 hingga tahun 2008, kementerian telah menyiapkan 25,459 unit rumah di bawah Program Bantuan Rumah iaitu 10,846 unit bina baru dan 14,613 unit baik pulih.
Jumlah ini tidak termasuk pelaksanaan pada tahun 2007 kerana pada tahun tersebut, Program Bantuan Rumah dilaksanakan oleh Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri dan bukan dilaksanakan oleh kementerian ini. Bagi memastikan setiap rakyat terutamanya golongan miskin tegar luar bandar mampu memiliki rumah, kerajaan telah memperuntukkan RM500 juta di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Pertama di samping peruntukan tahunan berjumlah RM51.4 juta di bawah siling Rancangan Malaysia Kesembilan untuk membiayai pelaksanaan Program Bantuan Rumah (PBR) tahun 2009 ini.
Jumlah peruntukan berkenaan dijangka mampu membiayai pembinaan 16,232 unit rumah iaitu 15,317 unit bina baru dan 915 unit baik pulih. Sekian, terima kasih.
Namun saya berpeluang mengemukakan soalan tambahan dengan meminta kementerian untuk memastikan pengagehan rumah untuk rakyat miskin ini adalah seadilnya dan berapakah jumlah bilangan rumah baru untuk rakyat termiskin ini diperuntukkan untuk kawasan saya di Parlimen Silam?
Menurut Tuan Joseph Entulu anak Belaun dalam jawapannya di Dewan Rakyat, untuk memastikan pengagihan adalah dibuat seadil-adilnya, pihaknya mendapat senarai tentang siapa yang menerima bantuan ini dari senarai e-Kasih, iaitu senarai orang yang miskin tegar di seluruh
negara.
Daripada senarai tersebut, kerajaan negeri yang diberi peruntukkan ini akan membuat pengagehan yang sewajarnya. Untuk berapakah jumlah unit rumah bina baru diagihkan untuk
kawasan Parlimen Silam, saya mohon Yang Berhormat minta dari Kerajaan Negeri ataupun
Daerah yang berkenaan. Mereka memang ada senarai itu. Sekian, terima kasih.
Namun sampai ke hari ini saya belum memperolehi jawapan daripada agensi pelaksana dan jumlah tersebut masih menjadi misteri?"
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI