|
|
PETALING JAYA - Tujuh lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan menculik seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dengan wang tebusan RM1 juta pada 10 April lalu.
Tertuduh ialah N. Arumugam, 42, G. Thiagarajan, 19, K. Magindran, 27, dan R. Parameswaran, 26. Empat tertuduh itu berasal dari Rawang.
Tiga lagi tertuduh ialah R. Chandran, 23, M. Prabu, 20, dan K. Thinagaran, 25.
Chandran dan Prabu berasal dari Seri Kembangan, Selangor manakala Thinagaran berasal dari Cheras.
Tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Ho Kwong Chin selepas pertuduhan dibacakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Dhiya Syazwani Izyan Mohd. Akhir.
Ketujuh-tujuh tertuduh didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan di bawah kedua-dua seksyen itu, mereka boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebat.
Arumugam diwakili peguam bela K.S. Rathakrishna manakala Chandran, Thiagarajan, Magindran dan Parameswaran diwakili peguam P. Vijayan.
Thinagaran dan Prabu pula diwakili oleh peguam S. Selvam.
Mengikut fakta kes, tujuh lelaki itu didakwa telah menculik Tan Guan Yu di hadapan rumah No. 11A, Jalan BU6/7, Bandar Utama, Damansara pada pukul 8.20 pagi, 10 April.
Tujuan penculikan itu adalah untuk mendapatkan wang tebusan sebanyak RM1 juta.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI