KUALA LUMPUR: Seorang penjenayah paling dikehendaki yang bertindak terjun dari tingkat dua sebuah hotel di Jalan Kepong di sini dalam keadaan berbogel bagi mengelakkan ditangkap polis, ditahan sembilan jam kemudian di dalam belukar berhampiran kawasan itu semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, berkata atas maklumat awam, polis menyerbu hotel berkenaan pada jam 3 petang dan berjaya menahan seorang suspek manakala rakannya berjaya meloloskan diri dengan terjun dari tingkap bilik hotel itu.
"Kedua-dua lelaki berusia 28 tahun itu adalah penjenayah paling dikehendaki dan berbahaya selepas terbabit dalam pelbagai kegiatan jenayah termasuk samun, rogol, curi kereta mewah dan juga dadah," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Sebelum itu, katanya, suspek yang melarikan diri dari hotel itu dikesan masuk ke dalam sebuah restoran dalam keadaan berbogel dengan menimbulkan kekecohan di situ.
"Melihatkan pengunjung tergamam dan menjerit ketakutan, suspek terus pula berlari sejauh 200 meter ke Jalan Silang, Kepong, sebelum bersembunyi di dalam kawasan belukar," katanya.
Ku berkata, suspek yang meloloskan diri itu sebelum ini pernah ditembak di bahagian perut pada Disember 2007 ketika menyamun sebuah restoran di kawasan Kepong.
Sementara itu, rakan suspek pula dipercayai terbabit dalam tujuh kes samun, rogol dan curi kereta di sekitar Jinjang, Selayang dan Kepong termasuk merogol seorang pelajar berusia 17 tahun di antara 26 hingga 30 Mac lepas.
"Hasil maklumat dari gadis tersebut mengesahkan lelaki yang merogolnya mempunyai tatu lambang lori pada badannya, sama seperti suspek," katanya.
Malah, katanya, suspek itu pernah mengurung dan menjadikan seorang wanita Indonesia sebagai hamba seksnya sejak enam bulan lalu di rumahnya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI