Melihatnya sebelum lenyap
Situasi sekarang menyaksikan ribuan pelancong dari seluruh dunia mengadakan lawatan ke destinasi yang dianggap mereka akan pupus dan musnah akibat pemanasan global dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
SETIAP tahun, hampir beribu-ribu pelawat dari seluruh dunia menjadikan gunung Kilimanjaro di sempadan utara Tanzania, air terjun Victoria dan Safari di Zimbabwe sebagai destinasi percutian paling unggul untuk dilawati.
Kehadiran pencinta alam dan pendaki yang mahu menyaksikan keajaiban glasier dan hidupan liar, sambil menikmati pemandangan alam yang penuh dramatik itu tidak pernah putus sepanjang tahun.
Bagi mereka, melihat sendiri panorama kehidupan alam semesta, umpama memberi suatu petunjuk dan kebenaran telus bahawa dunia mampu memiliki segala-galanya.
Namun, pada hari ini, peluang melihat keunikan alam itu hanyalah sementara. Akibat kekangan politik, hidupan liar menjadi kian terancam.
Zimbabwe kini bukan lagi sebuah destinasi percutian terunggul. Negara itu kini berdepan dengan pelbagai kritikan dari seluruh dunia ekoran sektor pelancongannya yang dikatakan lebih banyak membawa kemusnahan.
Kritikan itu dikeluarkan oleh pakar-pakar alam sekitar yang bimbang melihat jumlah pelancong asing yang semakin meningkat untuk melihat sendiri keajaiban yang ditawarkan oleh Zimbabwe. Limpahan pelancong yang tidak terkawal itu dipercayai akan memusnahkan alam semula jadi di negara tersebut.
Pengarang majalah TravelAge West, Ken Shapiro berkata, kerosakan beberapa destinasi pelancongan di Zimbabwe boleh mengecilkan saiz hutan hujan tropika.
Disebabkan fenomena itu, para pelancong mempercayai bahawa tarikan itu akan musnah dalam beberapa tahun akan datang sekali gus membuatkan generasi masa hadapan tidak dapat melihatnya lagi.
"Ia berlaku akibat perubahan iklim yang mengancam hidupan dan alam semula jadi dunia," ujarnya.
Beliau mengakui destinasi tertentu di beberapa bahagian di dunia kini menjadi tumpuan pelancong yang yakin bahawa satu perubahan besar akan berlaku di destinasi-destinasi tersebut dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
"Sebelum terlambat dan sebelum perubahan itu berlaku, lebih baik mereka berkunjung ke sana untuk melihat sendiri keajaiban alam semula jadi yang mempesona.
"Setakat hari ini, mereka berpeluang melihat banyak perkara menarik termasuk yang ekstrem," tambahnya.
Shapiro dalam laporan agensi pelancongannya menjelaskan bahawa, permintaan perjalanan ke destinasi tersebut semakin bertambah dan kajian mendapati peningkatan itu berlaku kerana pelancong mahu melihat sendiri proses yang menyebabkan glasier di Antartika mencair, ancaman karang di Australia Great Barrier Reef atau saiz glasier yang semakin mengecil di Gunung Kilimanjaro, Tanzania.
"Mereka mahu melihatnya sekarang sementara ia masih ada. Jika telah tiada nanti akibat pemanasan global, destinasi-destinasi itu akan menjadi lipatan sejarah,'' ujarnya.
Presiden Pelancongan Afrika Albida, Ross Kennedy memberitahu, beliau telah menyertai pesta pelancongan selama lima hari di Madrid, Sepanyol. Katanya, trend pelancongan kini mempunyai kaitan dengan kesedaran persekitaran dalam sektor pelancongan.
"Perubahan persekitaran memperlihatkan bahawa dunia kini sedang berhadapan dengan suatu kenyataan dan membuatkan sesetengah orang berfikir, kita perlu mendapatkannya," katanya.
Kesahihannya terbukti apabila berlakunya peningkatan jumlah pelancong asing ke rumah persinggahan safari di Zimbabwe. Firma pelancongan itu beroperasi berhampiran air terjun terbesar di Afrika, Victoria Falls.
Tapak tersebut sesuai sebagai satu titik permulaan untuk melakukan perjalanan safari di sepanjang sungai Zambezi di sempadan utara Zimbabwe. Dalam perjalanan itu, pelancong boleh melihat hidupan liar yang semakin terancam.
Walaupun bimbang dengan isu pergolakan politik, masalah inflasi, penyebaran wabak taun di Zimbabwe, Kennedy berkata, perolehan syarikat itu akan terus meningkat sebanyak 1/4 peratus sepanjang tahun 2008.
Manakala di pasaran Amerika Syarikat, tumpuan pelancong ke Afrika menyaksikan sebanyak 4,035 bilik telah ditempah pada tahun lalu. Ia memperlihatkan peningkatan sebanyak tiga kali ganda berbanding tahun 2004.
Shapiro menambah, populariti lawatan bagi melihat sendiri glasier yang cair di Antartika turut melonjak naik secara mendadak.
Menurut salah seorang kakitangan Persatuan Pelancongan Antarabangsa Antartika, lebih daripada 46,000 pelancong telah melawat benua itu sepanjang tahun 2007 hingga 2008.
"Pengasingan dan hidupan penguin liar yang unik, anjing-anjing laut, burung-burung dan ikan paus begitu menarik perhatian," katanya.
Seorang pelancong memberitahu, kehadirannya ke situ bukanlah semata-mata untuk mencari ketenangan, malah mahu melihat sendiri apa yang sedang berlaku.
"Kedatangan kami ke sini adalah untuk menyaksikan sendiri fenomena pencairan glasier, walaupun dari jauh.
"Pengalaman terbaik kami adalah peluang melihat sendiri proses glasier mencair dan mengecil. Melihatnya seakan-akan memberi keinsafan kepada kita tentang apa yang akan berlaku dalam kehidupan manusia pada masa hadapan. Dan kami adalah insan paling bertuah kerana dapat melihatnya sebelum ia lenyap," jelasnya panjang lebar.
Selain Zimbabwe, industri pelancongan yang dikesan membawa kemusnahan turut direkodkan di bandar Churchill, utara Kanada.
Pelawat mengambil kesempatan melihat beruang kutub yang datang dari pedalaman kampung dan kini dianggap kian terancam disebabkan pencairan ais laut.
"Salah satu sebab mengapa Churchill akan diteruskan dalam peta pelancong adalah disebabkan oleh beruang kutub," ujar Shapiro lagi.
Populasi spesies beruang polar menjadikan negara itu dikenali sebagai Polar Bear Capital of the World.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI