SETIAP pasangan bercinta pasti mengimpikan ikatan perkahwinan sebagai pelengkap hubungan yang terjalin. Begitu juga yang dirasai oleh bekas pegawai kanan Maestro Talent Management, Norliza Ilias, atau mesra disapa Liza ini selamahampir dua tahun berkasih dengan komposer dan penyanyi Ajai.
Meskipun hubungan mereka pernah terpalit dengan pelbagai kisah panas termasuklah khabar angin mengatakan Ajai mempunyai 'kekasih' lain, namun cinta pasangan ini cukup utuh.
Dan tanggal 15 Ogos ini akan menjadi tarikh istimewa buat Liza dan Ajai apabila mereka bakal disatukan sebagai suami isteri.
"Kalau ikutkan, memang sudah lama sebenarnya kami merancang untuk berkahwin. Sebelum ini pun memang sudah banyak desas-desus tentang perkahwinan kami, tapi belum dapat direalisasikan kerana kami sukar mencari tarikh yang sesuai.
"Masing-masing sibuk dengan tuntutan kerja. Akhirnya, kami rasa tarikh 15 Ogos itulah yang paling sesuai," kata Liza.
Mereka akan bernikah di Masjid Negeri Pulau Pinang sekitar pukul 10 pagi manakala sebuah majlis doa selamat akan turut diadakan di rumah keluarga pengantin perempuan di Kampung Melayu, Air Itam, Pulau Pinang.
Pada majlis itu nanti, sebanyak tujuh dulang hantaran akan diberikan kepada pihak perempuan berbalas sembilan dulang.
Menurut Liza lagi, dia dan Ajai merasakan masanya sudah tepat untuk mereka mendirikan rumahtangga, apatah lagi keluarga juga sudah bertanyakan perkara yang sama.
Namun begitu, wanita berusia 37 tahun ini menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang merasakan perkahwinan mereka itu dibuat untuk 'menutup' segala kontroversi yang pernah melanda mereka sebelum ini.
"Tiada kena-mengena langsung dengan apa-apa kontroversi yang berlaku sebelum ini kerana saya dan Ajai sendiri memang sudah lama 'plan' untuk berkahwin.
"Selama ini pun, cerita-cerita negatif seperti itu tidak pernah mengganggu hubungan kami. Saya sendiri sudah lama berada dalam 'showbiz' ini, jadi saya tahu cabaran dunia seni," ujar Liza.
Mengulas mengenai persiapan menjelang hari bersejarahnya itu nanti, kata Liza, ketika ini, keluarganya di kampung banyak membantu.
"Persiapannya tidaklah sebesar mana pun. Lagipun, majlis ini dibuat secara sederhana saja atas permintaan keluarga serta saya dan Ajai sendiri.
"Kami juga tidak akan bersanding. Bagi saya, biarlah kami lunaskan perkara yang wajib saja, itu sudah memadai," kata Liza yang menambah, majlis itu nanti akan dihadiri rata-ratanya ahli keluarga, saudara-mara dan kenalan rapat kedua-dua belah pihak.
Ini merupakan perkahwinan kali kedua buat Ajai yang pernah berkahwin dengan penyanyi popular Nurul, sebelum ini. Pasangan yang bercerai pada awal tahun 2007 itu turut dikurniakan seorang anak perempuan, Ayu Nazirah, 11.
Ditanya apakah 'keistimewaan' Ajai di matanya, kata Liza, dia melihat komposer berusia 36 tahun itu sebagai seorang yang kreatif.
"Dia memang sangat kreatif, itu yang buatkan saya kagum dengannya. Dia suka bergurau dan menariknya juga, dia pandai memasak," tutur Liza yang menambah, hubungannya dengan anak perempuan Ajai juga cukup baik.
KOMEN:
Sesekali layan gak... bab hiburan ni....hehehe!!!- (Ambuyat)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI