KUALA TERENGGANU, 25 Dis: PAS Terengganu akan menjadikan tahun 2010 sebagai tapak untuk menarik sokongan besar-besaran kepada parti Islam itu melalui apa yang dinamakan sebagai projek 'Ops-Al Falah'.
Melalui projek yang akan bermula Januari hingga Disember tahun depan itu, PAS akan turun ke segenap ceruk rantau negeri itu untuk memberikan penerangan tentang perjuangan PAS.
Pengarah Pilihan Raya PAS Terengganu, Ariffin Deraman (gambar) berkata, ia berupa projek bersepadu yang akan bergerak dari peringkat cawangan lagi yang akan dikendalikan oleh Majlis Tindakan Dun (MTD).
"Kita akan jadikan sepanjang tahun depan seumpama pilihan raya kecil berjalan sepanjang masa. Hanya kawasan tumpuan akan berbeza bagi setiap masa," katanya kepada Harakahdaily.
Program ini disusun dan dirancang berdasarkan pengalaman PAS dan Pakatan Rakyat menghadapi banyak sekali pilihan raya kecil sepanjang tahun ini.
"Pengalaman kita terlibat dalam pilihan raya kecil itu akan digunakan untuk menggerakan jentera kita sepanjang tahun," katanya.
Operasi ini akan menggabungkan seluruh jentera pilihan raya PAS dan semua jabatan di peringkat negeri sehinggalah ke peringkat Unit Peti Undi dan cawangan di setiap kampung dan taman.
"Dalam operasi ini, satu atau dua UPU akan dipilih bagi setiap hujung minggu, Khamis hingga Sabtu...jentera negeri dan kawasan serta Dun akan berkampung di situ bagi menggerakkan operasi ini. Kita akan selesai gerakkerja ini di penghujung tahun depan," kata Ariffin.
Tumpuan utama operasi ini adalah menambahkan bilangan pemilih baru, memberikan perkhidmatan dan lain-lain.
"Sasaran kita adalah naik ke semua rumah untuk bertemu dengan penduduk tempatan bagi setiap kawasan operasi kita," kata Ariffin.
Sepanjang Disember ini, katanya, pelbagai kursus telah dianjurkan untuk mempersiapkan jentera bagi menjayakan operasi ini.
"Kita telah latih kira-kira 1,000 muslimat kita untuk naik ke rumah-rumah bagi menyampaikan mesej PAS di samping mengenalpasti penduduk bagi setiap kawasan," katanya.
Untuk awal Januari depan, DUN Paka di Dungun akan menjadi kawasan pertama operasi ini. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI