ALOR SETAR, 25 Dis: Skim Kifalah atau pun khairat kematian yang akan dilaksanakan pemberiannya mulai Jan 2010 sebagai bantuan segera kepada rakyat miskin akan turut memberi tumpuan kepada semua golongan miskin, semua kaum dan warga emas. Namun begitu, menurut Menteri Besarnya, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, bantuan ini akan diberikan kepada mereka yang berdaftar dengan e-Sinar iaitu satu program membasmi kemiskinan.
"Selain daripada itu bantuan akan turut disalurkan melalui senarai yang telah diberikan oleh penghulu, wakil rakyat dan juga Majlis Ketua Kampung atau komuniti.
"Bantuan akan disalurkan hanya melalui pendaftaran sahaja bagi membuktikan individu tersebut adalah layak untuk menerima sumbangan tersebut.
"Projek Kifalah ini juga merupakan projek pertama Kerajaan Negeri yang akan dikuatkuasakan pada tahun hadapan bagi membuktikan kita benar-benar memberi komitmen untuk membantu golongan miskin yang memerlukan di negeri ini," kata Azizan.
Menurut beliau lagi skim ini tidak harus ditumpukan kepada golongan miskin sahaja sebaliknya ia harus merangkumi warga emas yang kurang berkemampuan.
Bantuan sebanyak RM500 yang akan diberikan oleh Kerajaan Negeri itu adalah bagi membantu pengurusan jenazah.
"Satu unit dibawah Perbendaharaan Negeri akan ditubuhkan tidak lama lagi bagi menguruskan segala pembiayaan kewangan, perbelanjaan dan urusan yang melibatkan skim Kifalah ini bagi memastikan ianya berjalan dengan baik dengan sistematik."katanya lagi. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI