Jacko dikebumi Selasa depan
LOS ANGELES - Keluarga Michael Jackson membatalkan rancangan menyemadikan Raja Pop itu di kediamannya di Neverland Ranch ekoran wujud kebimbangan jenazahnya tidak dapat dikebumi di lokasi itu, lapor sebuah akhbar semalam.
Ia berikutan undang-undang negeri California melarang pengebumian dilakukan di luar kawasan perkuburan.
Peraturan tersebut mengecilkan peluang untuk menjadikan Neverland Ranch tempat persemadian terkenal seperti Graceland dan menghampakan jutaan peminat Raja Pop itu.
Jika peraturan itu dikuatkuasakan, satu upacara tertutup untuk memperingati peMichael akan diadakan di Neverland Ranch selepas jenazahnya dikebumikan.
Jenazah Raja Pop itu dipercayai akan dikebumikan di Taman Peringatan Forest Lawn di Hollywood Hills dekat sini di mana neneknya, Martha Bridges dikebumikan pada 1990.
Media Amerika Syarikat menyiarkan gambar keranda yang berisi jenazah Michael dibawa keluar dari sebuah rumah mayat sebelum dipindahkan ke lokasi itu Selasa lepas.
Menurutnya, sebuah kubur telah digali di lokasi tersebut yang dikelilingi bukit bukau dan akan menjadi tempat persemadian Michael.
Bagaimanapun, beberapa sumber menyatakan kubur itu akan menjadi kubur sementara dan jenazah Michael akan dipindahkan ke tempat persemadian abadi di Neverland.
Ia berikutan khabar angin keluarga Michael berhasrat memohon kebenaran khas mahkamah untuk mengebumikan jenazah di lokasi tersebut.
Keputusan mengenainya akan diketahui dalam masa sebulan.
Sementara itu, laman berita The Hollywood Reporter semalam melaporkan upacara memperingati penyanyi terhebat sepanjang zaman itu akan diadakan di Pusat Staples di sini Selasa depan.
Penganjur konsert Michael di London, AEG Live yang memiliki Pusat Staples dan bangunan bersebelahan, Teater Nokia menyatakan kedua-dua kemudahan itu dan sebuah plaza berhampiran akan digunakan untuk majlis memperingati penyanyi itu pada minggu depan.
Sumber-sumber memberitahu, AEG akan meletakkan beberapa skrin gergasi di luar lokasi itu untuk beribu-ribu peminat yang tidak dapat memasuki bangunan-bangunan tersebut.
Bangunan-bangunan itu memiliki tempat duduk untuk 20,000 orang. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI