AS lancar kempen ketenteraan terbaru di Afghanistan
NAWA - Beribu-ribu tentera marin Amerika Syarikat (AS) mula memasuki kawasan perkampungan Helmand di selatan Afghanistan yang dikuasai pergerakan Taliban menggunakan helikopter dan kereta perisai.
Operasi pertama berdasarkan strategi Presiden AS, Barack Obama untuk menstabilkan negara itu bermula pada pukul 1 pagi waktu tempatan semalam.
Pasukan AS itu tidak mengalami kemalangan serius tetapi menerima sedikit tentangan, kata jurucakap unit tersebut, Leftenan Abe Sipe.
"Musuh memilih untuk berundur daripada menyerang balas di kebanyakan tempat. Kami mempunyai beberapa kematian tetapi ia dianggap tidak serius setakat ini," katanya.
Operasi tersebut dilancar kurang dua hari selepas seorang askar AS didapati hilang dan dipercayai ditangkap pihak pemberontak.
Para pegawai menggambarkan operasi itu sebagai terbesar sejak operasi serupa di Fallujah, Iraq, pada 2004. Ia membabitkan hampir 4,000 anggota tentera AS dan dibantu 650 tentera Afghanistan.
Kawasan selatan Afghanistan ialah kubu kuat Taliban tetapi ia adalah kawasan harapan Presiden Hamid Karzai yang berharap undi masyarakat Pashtun pada pilihan raya umum tidak lama lagi.
Pentagon menghantar tambahan 21,000 anggota tentera ke Afghanistan untuk memantau proses pilihan raya itu tetapi jumlahnya dijangka mencecah 68,000 orang menjelang akhir tahun ini.
Pergerakan Taliban yang menguasai Afghanistan pada 1996 digulingkan pakatan Barat yang diketuai AS setelah menceroboh negara itu pada 2001.
- AP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI