Pemandu tuk-tuk jerut 16 wanita guna selendang
PANAJI - Apabila polis India menahan pemandu tuk-tuk, Mahanand Naik berkaitan jenayah rogol dan peras ugut, mereka tidak menyangka suspek sebenarnya pembunuh bersiri yang merogol dan meragut 16 nyawa gadis sepanjang tempoh 15 tahun, lapor sebuah akhbar semalam.
Mahanand menggemparkan polis dan penduduk negeri Goa apabila dia mengaku bertanggungjawab melakukan semua pembunuhan tersebut sejak 1994 selepas beberapa minggu disoal siasat susulan penangkapannya pada April lepas.
Semua mangsa lelaki berusia 40 tahun itu mengalami nasib sama iaitu mereka dijerut menggunakan dupatta atau selendang yang dipakai wanita India manakala mayat mereka ditanam di beberapa kawasan terpencil selain dicampak ke dalam sungai dekat sini.
Jenayah Mahanand menggemparkan penduduk tempatan bukan kerana jumlah mangsa yang ramai sahaja tetapi ia dilakukan oleh seorang lelaki lemah lembut dan gagal dikesan untuk jangka masa yang panjang.
Orang ramai turut mempersoalkan bagaimana lelaki yang mendapat gelaran 'Pembunuh Selendang' itu dibebaskan tanpa pendakwaan selepas dia ditangkap pada 1995 berhubung kehilangan seorang wanita.
"Ini merupakan kes pertama di Goa di mana seseorang bertindak membunuh wanita-wanita muda," kata Ketua Menteri negeri berkenaan, Digamber Kamat baru-baru ini.
Antara kes yang dikaitkan dengan Mahanand termasuk kematian seorang gadis Britain, Scarlett Keeling, 15, yang dirogol sebelum di bunuh pada tahun lalu dan mayat wanita Rusia, Elena Sukhnova, 19, yang dikerat-kerat di sebuah landasan kereta api di Goa tahun ini. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI