2 anak ibu tunggal dapat ijazah kelas pertama
SHAH ALAM - Seorang ibu tunggal, Faezah Yaacob, 54, gembira bercampur sedih menyaksikan dua anak perempuannya menerima Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama pada Majlis Konvokesyen ke-70 Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini semalam.
Lebih membanggakan Faezah yang merupakan suri rumah apabila kedua-dua anaknya iaitu Intan Shafinaz Abdul Azim, 29, daripada program Ijazah Sarjana Muda Seni Lukis dan Seni Reka dan Intan Natasha, 24, yang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Teknologi Percetakan turut menerima Anugerah Naib Canselor selepas masing-masing mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.80 dan 3.68.
Faezah yang merupakan balu kepada Kapten Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berpangkalan di Sandakan, Sabah, Abdul Azim Abdul yang meninggal dunia akibat paru-paru berair 14 tahun lalu ketika ditemui berkata, dia bersyukur dan amat berbangga dengan pencapaian kedua-dua anaknya itu.
Walaupun dia terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran membesar dan mendidik dua anak gadis bersama seorang lagi anak lelaki sulungnya sendirian, namun melihat mereka berjaya mencatatkan keputusan cemerlang adalah saat yang amat mengharukan.
"Saya gembira kerana walaupun berstatus ibu tunggal, saya tetap berjaya membesarkan anak-anak dengan baik.
"Malah, saya bersyukur apabila kejayaan ini bukan sahaja dapat memenuhi impian saya tetapi juga impian dan amanat arwah suami," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI