Kosmo
RABAT - Sebanyak 11 orang terbunuh dalam satu kejadian rempuhan di sebuah stadium di Maghribi di sini pada malam kelmarin.
Kejadian itu berlaku apabila ribuan penonton keluar dari stadium tersebut ketika konsert berada di peringkat penghujung.
Pada kejadian itu sebanyak lima wanita terbunuh selain dua remaja dan empat lelaki. Sebanyak 40 yang lain mengalami kecederaan.
Mangsa itu merupakan antara 70,000 penonton yang menyaksikan konsert penyanyi pop Maghribi, Abdelaziz Stati di Stadium Hay Nahda di Rabat.
Konsert itu merupakan antara acara dalam minggu tahunan Festival Muzik Mawazine yang berakhir pada awal pagi semalam.
Festival tersebut diadakan dengan tujuan untuk mempromosikan imej toleransi dan moden di negara Afrika yang diperintah oleh seorang raja.
Antara penyanyi antarabangsa yang melakukan persembahan pada festival kali ini ialah Stevie Wonder, Kylie Minogue, Ennio Morricone, Khaled, Alicia Keys dan Warda al Jazairia.
Festival itu mendapat sokongan pemerintah Maghribi, Raja Mohammed yang bertujuan untuk menghidupkan suasana di Rabat yang dianggap sebagai sebuah bandar raya tanpa aktiviti hiburan.
Ahli-ahli politik pembangkang di negara itu pernah mengutuk konsert pop dengan menganggapnya sebagai perbuatan tidak bermoral.
Mereka menganggap adalah lebih baik wang untuk membiayai konsert itu digunakan untuk mewujudkan peluang pekerjaan. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI