Akhil sunting Waheeda
KUALA KUBU BAHARU - Sebelum ini, mereka saling menafikan ada perasaan cinta dan hanya menganggap hubungan yang sedia terjalin cuma sekadar gosip rakan artis.
Walaupun 'kemesraan' antara mereka semakin jelas, namun hubungan antara pendakwah, Akhil Hayy, 40, dan penyanyi nasyid, Waheeda, 30, semakin menjadi kontroversi sejak perceraian Akhil dengan isterinya, Maizawati Zainal, 33, pada bulan lalu.
Namun semalam, selepas genap sebulan Akhil dan Maizawati disahkan bercerai, akhirnya Akhil yang juga dikenali sebagai 'Ustaz Rock' menamatkan spekulasi dengan menyunting Waheeda sebagai isteri yang sah.
Pasangan itu selamat dinikahkan dengan sekali lafaz di hadapan Pendaftar Nikah Rujuk Dan Cerai, Hulu Selangor, Ustaz Zulkhairi Jaid di Masjid Jamek Al-Rahimah di sini tepat pukul 12 tengah hari.
"Ini adalah penutup spekulasi kami selain bukti kami belum pernah bernikah sebelum ini. Ini adalah pernikahan sebenar," ujar Akhil ketika ditemui pemberita selepas majlis berkenaan.
Akhil yang kelihatan ceria hadir ditemani dua daripada empat anaknya, Siti Nurmaisarah, 12, dan Muhd. Sharif Hidayatullah, 11, dan beberapa ahli keluarganya dari Gopeng, Perak. Majlis itu dihadiri kira-kira 200 orang.
Waheeda atau nama sebenarnya Nor Wahidah Abdul Wahab yang hadir dengan ditemani beberapa ahli keluarganya termasuk ibunya, Hajah Asri Othman, 58, dan bapanya Abdul Wahab Yusof, 58 pula berkata: "Saya percaya setiap dugaan yang besar ada hikmahnya. Pernikahan ini adalah ganjaran dugaan saya."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI