"Tokoh Maal Hijrah 1430H, Datuk Seri Harussani Zakaria dipetik hari ini oleh BERNAMA sebagai berkata bahawa perbuatan menghina agama Islam adalah satu perbuatan 'kurang ajar, tidak beradab dan keji'.
Beliau yang juga Mufti Perak berkata selama ini orang Islam belum pernah mengeluarkan satu pun kenyataan mengeji agama lain walaupun beranggapan Islam itu yang benar dan agama yang lain itu adalah tidak benar. Harussani berkata demikian sebagai mengulas mengenai kewujudan satu blog yang didakwa menghina Nabi Muhammad S.A.W.
Memang kita akui kemunculan satu blog yang menghina Islam baru-baru ini sungguh keterlaluan dan biadab. Penulis blog itu tanpa mengira kaum, agama dan jantinanya harus diadili kerana kebiadabannya itu. Walaupun bersetuju dengan pandangan Mufti Perak itu, namun jika berpeluang menemui beliau saya sangatlah teringin bertanya kepadanya, "Jika rakyat biasa menghina Islam dikatakan kurang ajar, apa pandangan Datuk Seri mengenai pemimpin kita yang menghina Islam?". Jika Datuk Seri terlupa saya akan perturunkan semula kata-kata pemimpin-pemimpin kita itu untuk Datuk Seri pertimbangkan sama ada ia wajar digelar kurang ajar atau tidak:

i) "Bagaimana kita boleh maju kalau orang Islam sudah tiada tangan dan kaki. Bagaimana mereka mahu bersaing dengan bangsa-bangsa lain kalau sifatnya sudah tidak cukup. Hukum Hudud tidak sesuai dilaksanakan di negara ini yang mempunyai rakyat berbilang kaum dan agama'.(Dr. Mahathir b.Mohamed, 2.5.1992)
ii) 'Apabila hukum rejam batu sampai mati kepada penzina dan potong tangan kepada pencuri, nescaya ramailah rakyat Islam yang mati dan kudung tangan. Ini sangat memalukan umat Islam kerana orang bukan Islam akan sempurna sifatnya dan boleh meneruskan kerja'. (Dr. Mahathir b.Mohamed, 14.7.1992)
iii) 'Negara akan huru-hara sekiranya undang-undang Islam dilaksanakan'.
( Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak : 20.4.1993)
iv) Saya akan memastikan bahawa negeri-negeri yang diperintah oleh BN tidak akan melaksanakan hukum hudud'. (Dr. Mahathir b.Mohamed, 1994)
v) "Apakah dalam keadaan Islam sudah lemah, hukum (hudud) yang boleh melemahkan lagi orang Islam mesti dilaksanakan?" (Dr Mahathir Mohamad, 3.3.1994)
vi) 'Hukum rejam kepada penzina adalah primitif'. (Dr. Mahathir b.Mohamed, 3.3.1994)
vii) "Sukar dilaksanakan hukum syarak kerana masyarakat Malaysia bukan seratus peratus Islam". (Dr. Mahathir b. Mohamed : 4.8.1994)
viii) "Melaksanakan hukum hudud sehingga melemahkan orang Islam sehingga menjadi masyarakat kucar-kacir dan ditindas oleh orang lain tidak secocok dengan ajaran Islam"(Dato' Seri Mahathir Mohamad, 14.4.1994)
ix) Tujuan menutup aurat ialah kerana di zaman Nabi, Arab jahiliyyah mempunyai nafsu yang kuat sehingga sering menculik dan merogol wanita daripada kabilah-kabilah lain, akibatnya ialah peperangan antara mereka yang tidak pernah tamat" (Dato Seri Dr Mahathir Muhamad, 5.9.1997)
7. 'Apa erti pembentukan negara Islam jika ia mundur'. (Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi: 13.11.1999)
8. "Hal-hal mengenai keagamaan (Islam), harus dipisahkan dari Sekolah Kebangsaan bagi membolehkan ibu bapa bukan Islam menghantar anak-anak mereka ke Sekolah Kebangsaan (Bekas Presiden Gerakan, Lim Liong Sik, 2007)
Jadi sekali lagi saya ingin bertanya kepada Datuk Seri Harussani, adakah kata-kata pemimpin di atas itu tidak boleh digelar kurang ajar? Jika tidak sampai ke peringkat kurang ajar, apakah perkataan yang paling sesuai untuk dilemparkan kepada mereka?

Membincangkan soal kurang ajar ini, saya teringat kepada Allayarham Datuk Ishak Baharum yang pernah menjawat jawatan Mufti Selangor tetapi dipecat pada Oktober 1997 gara-gara mempertahankan fatwa Majlis Fatwa Selangor pada 28 April 1995 yang memutuskan bahawa gadis Islam diharamkan dari menyertai pertandingan ratu cantik. Berikutan keputusan itu, tiga gadis Melayu Islam yang menyertai pertandingan ratu cantik di Hotel Holiday Villa pada 13 Jun 1997 telah ditahan untuk didakwa. Namun penangkapan itu telah menimbulkan kemarahan bukan kepalang Perdana Menteri ketika itu, Dr Mahathir. Dr Mahathir terus menempelak institusi agama Islam di mana beliau dilapor berkata, “Kita hormati Mufti pasal sesuatu peraturan yang dibuatnya tetapi kalau Mufti mengambil tindakan tidak mengikut Islam, takkan kita tidak boleh tegur.” Jadi Dr Mahathir berkata tindakan Mufti menahan gadis Islam yang berpakaian hampir separuh bogel itu adalah "tidak mengikut Islam". Betapa ceteknya ilmu agama Dr Mahathir ketika itu, malangnya pemimpin-pemimpin UMNO lain di peringkat pusat dan negeri berlumba-lumba untuk menyokong kenyataan beliau menghina institusi agama itu.

Allahyarham Datuk Ishak yang tidak tunduk kepada tekanan sebaliknya terus mempertahankan tindakannya. Dalam satu ceramah pada majlis Maulidur Rasul di sebuah masjid di Alor Star, Kedah pada 11 Ogos 1997, beliau dengan beraninya menempelak Perdana Menteri dengan memberi amaran seseorang Islam yang mempersoalkan hukum Allah boleh tergelincir akidahnya. Dan 2 bulan selepas kenyataan berani beliau kepada Perdana Menteri itu, perkhidmatannya terus ditamatkan pada akhir bulan Oktober 1997
Ekoran pemecatan Allahyarham itu, ramai ahli agama dan mufti yang nampak seperti tidak berani lagi untuk menyuarakan kebenaran. Mereka seperti lebih selesa membiarkan kemungkaran asalkan dapat meneruskan kemegahan dunia, sehingga munculnya seorang mufti muda, Dr Asri Zainul Abidin yang dilantik sebagai Mufti Perlis. Namun seperti Allayarham Datuk Ishak, keberanian Dr Asri memberi pendapat turut tidak disenangi banyak pihak yang akhirnya menyebabkan beliau terpaksa meletak jawatan.

Kepada Datuk Seri Harussani keberanian beliau memberi banyak pendapat berkaitan agama sebelum ini sangat saya hormati. Cuma dalam soal pemimpin Islam yang celupar mengkritik agamanya seperti bekas Perdana Menteri kita dan beberapa menteri yang masih memegang portfolio masing-masing sehingga kini itu saya belum pasti jawapan yang bakal beliau berikan sama ada ianya suatu perbuatan kurang ajar atau tidak.
Ihsan daripada : "pendikar gunung kriang"
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI