Posted on Saturday, August 01 @ 16:29:01 PDT by TokPenghulu
Oleh Anis Nazri | Foto Wan Zahari Wan Salleh
KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Hrkh) - Suasana di Pusat Tahanan FRU Cheras menjadi kecoh apabila pihak polis bertelagah dengan para peserta demonstrasi anti-ISA yang ditahan sebelum dan semasa himpunan MANSUH, hari ini. Iklan
Menurut Ahli Jawatan Kuasa Muslimat PAS, Athirah Aiman al-Jundi, yang ditahan kira-kira jam 12.50 tengah hari di Kompleks Pertama, pertelagahan tersebut berlaku apabila pihak polis tidak membenarkan mereka yang ditahan untuk menemui peguam
Tambah beliau, pihak polis tidak membenarkan mereka menemui peguam dengan alasan 'mereka belum ditahan', selain mengatakan para peguam tidak mengendahkan hak dan nasib mereka.
"Alasan pihak polis tidak membenarkan kami menemui peguam ialah kerana kami belum ditahan. Jadi, yang letakkan kami di pusat tahanan ini apa namanya? Jika kami tidak ditahan, mengapa tidak dilepaskan sahaja?", soal beliau ketika dihubungi Harakahdaily.
Tambah beliau lagi, alasan polis bahawa para peguam tidak mengendahkan mereka yang ditahan turut tidak masuk akal, memandangkan terdapat tiga peguam di luar pusat tahanan tersebut, antaranya Lateefa Koya yang ingin menemui mereka yang ditahan.
Sambil menyatakan kesemua yang ditahan dipisahkan antara satu sama lain bagi mengelakkan sebarang perbincangan, Athirah turut memaklumkan tiada sebarang keterangan diambil polis ke atas mereka yang ditahan.
"Kita tidak tahu apa yang mereka mahu. Keterangan tidak diambil, malah terdapat dua tahanan wanita dihantar ke Balai Polis Bukit Jalil. Atas sebab apa kita tidak tahu. Malah, ada di kalangan yang ditahan telah diambil kad pengenalan mereka tanpa dipulangkan kembali," tambah beliau yang turut menyampaikan informasi melalui sistem pesanan ringkas (SMS) kepada Harakahdaily.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan mereka yang ditahan bertindak melakukan pelbagai aktiviti bagi memprotes tindakan polis, antaranya melaungkan slogan 'Hidup Rakyat', 'Mansuh ISA', 'Hentikan kezaliman', 'hancur penindasan', 'lawan tetap lawan', selain mendeklamasikan sajak.
Antara yang turut ditahan bersama Athirah ialah AJK PAS Pusat, Mujahid Yusof Rawa; Exco Pemuda Pusat, Khairul Faizi Ahmad Kamil; Naib Presiden KeADILan, Sivarasa Rasiah; serta beberapa aktivis lain, termasuk isteri tahanan ISA lapan tahun, Norlaila Othman.- mns_
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI