Rasul Allah terakhir
Assalamualaikum.
Alhamdulillah. Dengan kurniaan yang tidak pernah henti daripadaNya, selain nikmat terbesar Iman dan Islam yang dikurniakan, kita masih diizinkan bernafas dan merasai hidup untuk detik yang seterusnya.
Umum mengetahui, hari ini, 20 Mac 2008M, bersamaan 12 Rabiul Awal 1429H. Tarikh keramat ini menjadi sejarah penting sebagai permulaan hidup seorang Insan Terpuji. Jika kita soroti kembali sirah Nabi, pelbagai kejadian yang berlaku, seolah-olah membenarkan bahawa yang lahir itu manusia pilihan Allah, Penghulu Ummat Akhir Zaman. Siti Aminah melahirkan bayi itu tanpa kehadiran suami tercinta kerana Allah lebih menyayanginya, dan lahirlah bayi itu tanpa bapa. Anak yang baru mengenal kasih seorang ibu, akhirnya menjadi yatim piatu bila Allah juga memanggil Siti Aminah pulang dalam masa kanak-kanak itu masih kecil.
Datuk tempat menumpang kasih sekaligus pengasuh sehingga dewasa. TakdirNya, umur Datuk tidaklah lama untuk cucu itu terus bermanja, menumpang kasih, belai dan mesra. Akhirnya dipelihara bapa saudara yang begitu menyayangi anak itu dan diajar selok belok berniaga sehinggalah terkenal pemuda itu sebagai seorang yang sentiasa bercakap benar dan adil dalam perniagaan. Akhlak yang baik yang dipunyai pemuda itu menarik minat seorang wanita dambaan ramai usahawan, untuk menjadi suri dalam hidup pemuda itu. Bermulalah kisah pelayaran seorang manusia pilihan Allah di muka bumi bila ketika sedang mencari ketenangan dibukit itu, didatangi malaikat Jibril seraya disuruh membaca sedangkan baginda tidak tahu membaca. Diajar berkali-kali sehinggalah menggigil seluruh badan dan berlari pulang ke pangkuan isteri tercinta. Kasihnya isteri terhadap suami, menyelimutkan dan menenangkan hati Kekasih Allah itu. Bermulalah kehidupan seorang Rasul menyampaikan Islam kepada seluruh Ummat manusia. Jika Rasul terdahulu diutuskan utuk kaum-kaum tertentu, tetapi Rasul terakhir ini adalah untuk semua kaum dan tidak punya batas masa sehinggalah kiamat tiba.
Mengingati pengorbanan Rasul Allah itu, boleh menitiskan air mata, buat mereka yang mengaku kasih dan cintakan Kekasih Allah itu. Bagaimana seorang yang dilantik sebagai Penghulu Ummat manusia, sanggup mengikat perut kerana ummatnya? Masih sanggup Rasul Allah itu bersabar dengan tohmahan dan kejian mereka yang tidak faham Islam, demi menyampaikan risalah satu-satunya agama yang diterima disisiNya. Kekasih Allah itu pernah tercedera dalam peperangan tetapi tidak pula pernah mahu mengalah, terus menyampaikan Islam kepada semua. Manusia didikan Allah itu terus dipelihara dengan akhlak yang baik, diutuskan sebagai penyempurna akhlak manusia, tetapi sayang, masih ramai yang tidak mahu berfikir dan menerima.
Di dalam satu peristiwa, Nabi Allah itu tercedera, sehingga malaikat Jibril mempelawa untuk membantu bagi memusnahkan mereka-mereka yang degil dan angkuh itu. Tetapi apa jawapan Manusia Terpuji itu? "Tidak", dan masih berharap dan berdoa agar sinar Islam itu akan diterima oleh generasi seterusnya walaupun ditolak sekeras-kerasnya oleh manusia--manusia sombong ketika itu. Cuba kita bayangkan jika Rasul tidak bersimpati dengan nasib kita, ummat selepas zaman itu, maka akan Islam kah kita? Akan kenalkah kita apa itu agama?
Jika kita rasa, keluarga menyayangi kita, ingatlah Allah dan Rasul Allah itu lebih menyayangi kita. Jika kita fikir sahabat kita mencintai kita, ingatlah Allah dan Rasul Allah itu lebih mencintai kita. Belajar-belajarlah mengetahui peringkat-peringkat cinta itu; Cintakan Allah, Cintakan Rasulullah, Cintakan Ibu bapa dan keluarga, dan seterusnya. Allah dan Rasul itu lebih utama! Fikir-fikirkanlah wahai diri. Didik-didiklah hati mencintai baginda sebagaimana cintanya baginda kepada kita. Sehingga akhir hayat baginda, masih terungkap kalimah-kalimah ini daripada mulut baginda,
"Wanita, wanita, wanita, peliharalah wanita..."
"Solat, solat, solat, jagalah solat..."
Bagaimana mencintai baginda? Belajar-belajarlah sirah dan kenalilah insan yang amat mencintai kita, ummatnya ini. Amalkanlah apa yang dikatakan sunnah baginda, dan janganlah mengada-adakan sesuatu yang bukan daripada baginda kerana sabda baginda,
[Riwayat Muslim]
"Sesungguhnya aku telah tinggalkan pada kamu dua perkara yang barangsiapa mengikutinya, tidak akan sesar buat selama-lamanya; iaitu Kitab Allah dan Sunnah Rasul."
[Riwayat Malik]
Semoga ada manfaatnya.
Wallahualam.
Lagi artikel berkenaan Rasul Allah tercinta; Bicara tentang Rasulullah; Penerangan Ringkas: Sambutan Maulid Rasul; 12 Rabi'ul Awwal: Tangisan Ummu Ayman; Ya Rasulullah; Cinta itu bukan cinta paksaan
p/s: Bila rindukan keluarga, telefon pemudah bicara, tetapi bila rindukan Rasulullah? Selawat ke atas baginda itu pengikat hati...;)
Salam Maulidur Rasul. Perbanyakkan selawat, dan cuba istiqamah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI