10 Adun Perak angkat sumpah sebagai Exco Kerajaan Negeri |
Johari Jaafar | Foto Nizam Sun | Mar 30, 08 | 8:43:21 am MYT | |
KUALA KANGSAR, 30 Mac (Hrkh) - Isu lantikan Exco kerajaan campuran yang didokong oleh DAP, KeADILan dan PAS akhirnya selesai semalam apabila 10 anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) mengangkat sumpah sebagai anggota majlis mesyuarat kerajaan negeri (Exco) pada di Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Anggota Exco tersebut terdiri daripada enam wakil DAP, tiga dari Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) dan seorang dari PAS telah mengangkat sumpah di hadapan Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah . Mereka ialah Ngeh Ko Ham (Sitiawan), Nga Kor Ming (Pantai Remis), Su Keong Siong (Pasir Pinji), Chen Fook Chye (Keranji), Seah Leong Peng (Pasir Bedamar), A. Sivanesan (Sungkai), Jamamaluddin Mohd Radzi (Behrang), Tai Sing Ng (Kuala Sepetang), Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering) dan Mohd Zainuddin Mohd Yusof (Lubuk Merbau). Kesemua mereka telah menerima watikah perlantikan tersebut kemudian diteruskan dengan majlis angkat sumpah jawatan dan taat setia serta sumpah menyimpan rahsia dengan Exco Kerajaan Negeri. Pengagihan kerusi Exco adalah seperti yang dipersetuji sebelum ini dalam satu mesyuarat ketiga-tiga parti berkenaan bagi membentuk kerajaan campuran. Pada pilihan raya umum ke 12 yang baru lalu DAP memenangi 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN); KeADILan (3) dan PAS (1), manakala BN 28.Barisan pembangkang yang dikenali sebagai Barisan Rakyat berjaya membentuk kerajaan dengan majoriti mudah. - wann/mks. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI