SHAH ALAM, 18 Dis: Datuk Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Abdul Khalid Ibrahim berkata peristiwa hijrah mengajar umat tentang langkah untuk melonjak pencapaian setiap peribadi rakyat khususnya dan kejayaan negeri ini amnya. Menurutnya, meskipun hijrah mengikut kefahaman umum adalah penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Madinah namun di sana terdapat banyak pengajaran penting untuk umat Islam khususnya.
Tan Sri Khalid berkata demikian ketika berucap melancarkan Karnival Maal Hijrah dan Minggu Dhuat 2009 Selangor di Masjid Negeri, dekat sini malam tadi yang turut disertai Exco Selangor, Datuk Dr Hassan Mohd Ali, Haji Dr Yaakob Sapari dan Mufti, Datuk Seri Mohamad Tamyez Abdul Wahid. “Kedudukan umat Islam meningkat sebaik berhijrah ke Madinah serta bebas dari hinaan dan halangan untuk menunaikan amalan agama selain mencapai tahap ekonomi lebih baik selepas meninggalkan Makkah.
“Negara Islam yang baru muncul dan berkembang kuat sehingga mampu mengatasi negara lain; dengan daya kepimpinan Rasulullah SAW kemudian diteruskan oleh sahabat baginda yang jujur dan ikhlas,” tegasnya lagi. (Gambar: Menteri Besar, Datuk Seri Khalid Ibrahim disambut oleh Imam Besar Masjid Negeri Shah Alam, Syeikh Mustafa Al-Muqry (kanan), Exco dan orang kenamaan lain.) Baginda juga, jelas Khalid, sanggup berundur setapak untuk mencari jalan lebih baik dalam usaha menguatkankan diri dan pasukan sebelum berhadapan dengan cabaran lebih besar.
Tambahnya, dengan bersikap bertahan bukan bererti umat Islam tidak berbuat apa-apa dan mengaku kalah tetapi itu merupakan percaturan strategi untuk melangkah dengan lebih gagah lagi ke hadapan.
Majlis dimulakan dengan bacaan surah Yaasin sebelum masuknya waktu Maghrib dan doa akhir tahun 1430H yang diketuai oleh Imam Besar masjid ini, Syeikh Ahmad Mustafa Al-Muqry yang turut disertai sama Tan Sri Khalid.
Setelah menunaikan solat Insyak berjemaah, menteri besar telah diiringi melawat sebahagian besar kaunter pameran di luar bangunan masjid yang diadakan sempena karnival melibatkan sekitar 38 NGO di negeri ini.
Antaranya Yayasan Amal Malaysia, Persatuan Cina Muslim Malaysia, Persatuan India Muslim Malaysia, Gabungan Pendakwah Islam Selangor (Gapis), Muslim Care, Jam’iyah, Shura dan Pemadam.
Setelah itu, satu forum perdana ehwal Islam turut diadakan dengan panelis Prof Hashim Yahya dan Dr Muhammad Nor Manuthy yang dipengerusikan oleh Datuk Dr Hassan dengan hadirin memenuhi dewan. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI