Wednesday, February 18, 2009 5:23 PM
From:"Mujahidin Cyber"
Assalammualaikum w.b.t dan Selamat Sejahtera.
Alhamdulillah, Syukur kehadrat Allah S.W.T Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, Selawat dan Salam bagi Rasulullah S.A.W, Ahli keluarga Baginda dan Para Sahabatnya.
Apa yang membezakan fizikal dengan suasana tempat kediaman?
APA yang kita inginkan dari sebuah rumah? Baik kita tinggal di rumah batu atau kayu, rumah teres atau banglo, kecil atau besar, di bandar atau jauh di pedalaman, kita tentunya inginkan rumah yang selesa, ada kedamaian dan ada `privacy'. Rumah yang di situ ada kebebasan dan kemerdekaan individu.
Lebih-lebih lagi bila sudah berkeluarga, kita inginkan rumah yang benar-benar dapat dikuasai suasana dan persekitarannya. Rumah yang memang kita rasakan milik kita sepenuhnya, walaupun hakikatnya ia pinjaman dari Allah.
Keinginan pada rumah yang demikian ada pada semua pasangan yang mendirikan rumah tangga. Keinginan ini memang satu fitrah yang Allah bekalkan secara semula jadi. Sama ada sebagai suami atau isteri, kita mahu mendiami sebuah rumah tempat berlindung yang di situ juga kita dapat membina kehidupan yang bahagia dan tenteram. Rumah itu jugalah tempat kita membenteng maruah diri dan keluarga.
Namun, bagaimana hendak mencapai apa yang kita inginkan itu? Bagaimana hendak memiliki rumah seperti yang kita mahukan itu dengan menggunakan sumber-sumber yang ada? Bukan saja fizikal rumah itu sendiri (house) tapi juga aspek dalaman rumah itu (home) - sejauh mana ia mempunyai suasana dan pengisian aktiviti yang menjadikan rumah benar-benar berfungsi dalam kehidupan kita, khususnya dalam hidup berkeluarga. When a house is really a home, menurut ungkapan Inggerisnya, iaitu apabila rumah benar-benar memberi suasana tempat kediaman.
Berdasarkan pengalaman dan realiti yang kita lihat, ada rumah yang terasa harmoni, damai dan tenang bila dimasuki walaupun rupa bentuknya biasa-biasa saja. Malah rumah itu mungkin kecil saja dengan perabot yang sangat sederhana.
Terasa di situ ada suasana tempat kediaman yang mendamaikan. Tetapi ada juga rumah yang terasa tidak berapa menyenangkan bila kita berada di dalamnya walaupun ia mungkin luas dan lapang, dihiasi pula dengan perabot yang cantik-cantik.
Rumah besar dengan perabot serba cukup nampaknya belum memadai untuk melahirkan suasana yang membahagiakan. Rumah yang dihias indah dengan halaman yang lapang juga belum menjamin wujudnya kedamaian dan ketenangan. Belum dapat menjanjikan `privacy' yang diinginkan.
Rumah yang dilengkapi alat kawalan keselamatan serba canggih juga belum tentu dapat menjadikan penghuninya merasai suasana merdeka, selamat dan tenteram.
Dengan kata lain, faktor fizikal semata-mata tidak mampu mencorak suasana rumah sebagai tempat kediaman. Dinding, atap, tiang, lantai dan segala yang mengisi serta menghiasi rumah adalah benda-benda mati yang perlu `dihidupkan' supaya ada fungsi dan peranannya.
Tidak dinafikan, rupa bentuk, warna dan hiasan rumah dapat juga mempengaruhi suasana rumah. Tetapi yang lebih kuat mempengaruhi jiwa dan perasaan adalah suasana interaksi di dalam rumah itu dan aktiviti sehari-hari yang dibuat di rumah.
Fizikal rumah yang nampak harmoni jika dipadankan dengan suasana hidup keluarga yang harmoni dan berkasih sayang tentulah akan menyerlahkan suasana membahagiakan.
Berbanding jika rupa bentuk, warna dan susun atur perabot rumah saja yang kelihatan harmoni tetapi suasana pergaulan, interaksi dan aktiviti di dalamnya tidak harmoni. Tidak ada saling berkasih sayang, saling memberi, bertolak-ansur, saling memaafkan dan lain-lain nilai harmoni.
Sumber keharmonian sebenar di dalam sebuah rumah adalah bilamana semua penghuninya dirahmati dan diberkati Allah. Namun, rahmat Allah tidak akan turun jika rumah dipenuhi suasana pergaulan dan aktiviti yang Allah tidak redhai. Lebih-lebih lagi jika kehidupan penghuni- penghuninya bergelumang dengan dosa dan tidak ada ketaatan kepada Allah.
Oleh itu, mencorak rumah dengan suasana yang diingini perlu diiringi dengan mengharap pada rahmat dan keberkatan dari Allah. Jika ada limpahan rahmat dan keberkatan ini, rumah akan terasa lapang dan luas biarpun mungkin keadaannya kecil dan sempit saja. Apalagi kalau memang luas dan selesa.
Mari kita renungi sabda Rasulullah s. a. w. ini:
"Rumah yang di dalamnya dihiasi alunan bacaan al-Quran akan memancarkan cahaya hingga terlihat oleh para penghuni langit, sebagaimana bintang- bintang memancarkan cahaya terlihat oleh para penghuni bumi."
(Riwayat Baihaqi)
Berdasarkan hadis ini, rumah yang sempit sekalipun akan terasa lapang dan terang-benderang kerana adanya cahaya dari bacaan al-Quran. Betapalah kalau sesebuah rumah itu sentiasa dihiasi dengan zikir, puji-pujian kepada Allah, taubat, sedekah, menjalin silaturrahim serta pelbagai amalan baik oleh para penghuninya. Diperindah pula dengan sifat saling menyayangi, saling pemaaf, penyantun, penyabar, pemurah, berlapang dada dan lain-lain sifat mulia.
Tentulah Allah akan menurunkan rahmat-Nya yang melimpah-ruah hingga rumah benar-benar menjadi `syurga' dalam kehidupan sementara di dunia! Insya-Allah.
"Dalam penciptaan syurga-syurga dan bumi, dan pertukaran siang dan malam, terdapat tanda-tanda bagi mereka yang memahami: mereka yang mengingati Allah, berdiri, duduk, dan baring atas sisi mereka, dan mengungkap atas ciptaan syurga-syurga dan neraka: “ Tuhan kami, Engkau telah mencipta semua ini tanpa sia-sia. Maha Suci Engkau! Maka hindarkanlah kami daripada azab neraka.”
(Qur'an, 3:190-191).
Oleh: Mujahidin Cyber.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI