Makanan dan kita
young starving Sudanese girl being stalked by a vulture
Assalamualaikum warahmatullah. ..
Negara kita makmur dan kerana kemakmurannya itu, kita mewah segala-galanya. Dalam aspek makan dan minum, jarang-jarang kita merungut kerana tidak cukup, malah yang kerap berlaku, kita makan secara berlebihan dan kadangkala membuang makanan begitu sahaja apabila sudah tidak termakan.
Dr. Yusof al-Qaradhawi menyatakan jika perut itu sarang kepada penyakit, maka melaparkan perut itu adalah raja bagi segala ubat. Keadaan ini tidak bermakna, kita tidak dibolehkan menikmati makanan, tetapi Islam menganjurkan umatnya sentiasa mengawal pengambilan makanan agar keadaan tubuh badan sihat dan segar.
Hal ini selaras dengan firman Allah SWT yang bermaksud, “Oleh itu, makanlah (wahai orang yang beriman) daripada apa yang dikurniakan oleh Allah kepada kamu daripada benda halal lagi baik, dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembah-Nya semata-mata.” (Surah an-Nahl [016], ayat 114)
Makanan sebetulnya penting untuk kesuburan rohani. Ini kerana apabila nafsu makan jasmani tidak dikendalikan, ia menjejaskan rohani daripada mengingati Allah SWT. Sifat malas menghantui kita untuk beribadah. Apabila tubuh sakit akibat salah makan misalnya, jumlah ibadat kita kepada Allah jadi terbatas.
Rohani yang bersih tidak lain tidak bukan, dibentuk oleh makanan yang berkhasiat, agar daya ingatan menjadi cerah dan tajam. Oleh itu, hubungan kesihatan serta makanan amat erat dan saling berkait. Makanlah, tetapi harus berpada-pada.
Menjauhi makanan yang haram
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Setiap jasad yang membesar daripada benda-benda yang haram maka api nerakalah yang layak baginya.” (Riwayat al-Baihaqi dan Abu Nuim)
Harta-harta yang berkat itu adalah harta yang halal dan baik, kerana sesuatu yang diambil dari yang tidak halal dan tidak baik tidak mungkin mampu mendorong seseorang kepada melakukan kebaikan sama ada kepada diri sendiri mahupun orang lain. Kita seharusnya mengambil berat akan apa yang kita suapkan ke mulut kerana setiap daging yang timbul atau dihasilkan dari sesuatu yang haram maka nerakalah tempatnya.
Pengertian halal yang harus difahami daripada hadis di atas adalah mencakupi aspek-aspek berikut:
- Halal wujudnya, iaitu apa saja yang tidak dilarang oleh agama Islam, seperti makanan dan minuman yang tidak diharamkan oleh syariat Islam.
- Halal cara mengambil atau memperolehinya, iaitu cara mengambil atau cara memperoleh yang tidak dilarang oleh syariat Islam seperti harta yang diperoleh dari pekerjaan yang halal menurut pandangan syariat Islam.
- Halal kerana tidak bercampur dengan hak milik orang lain, kerana sudah dikeluarkan zakatnya. Jika sebaliknya (haram) ia berupa bahan makanan dan dimakan oleh seseorang maka pengaruhnya sangat buruk terhadap perkembangan rohani dan jasmani seseorang.
Renung-renungkan.. Semoga perubahan kita hari ini menjadikan kita antara Insan yang beruntung sewaktu di sana nanti.. Aamin
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI