KUALA LUMPUR, 28 Dis: Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) membidas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bahawa semua pihak sepakat Akta Keselamatatan Dalam Negeri (ISA) dikekalkan.
Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, kenyataan yang dibuat oleh Hishamuddin itu tidak menggambarkan persetujuan semua pihak kerana pertemuan yang dibuat Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak melibatkan semua pihak.
GMI khususnya dan beberapa badan bukan kerajaan yang lantang menuntut ISA dimansuhkan seperti Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), dan Jemaah Islah Malaysia (JIM) juga tidak dipanggil menghadiri sesi Pertemuan Awam dengan KDN bagi berbincang mengenai akta tersebut.
"Banyak prsoalan yang timbul daripada kenyataan Datuk Seri Hishamuddin itu. Yang dikatakan sepakat (ISA dikekalkan) itu siapa? Siapa yang terlibat dalam pertemuan itu?
"Setahu saya badan bukan kerajaan seperti GMI, SUARAM dan JIM yang ke depan dalam isu ini tidak dipanggil. Bagaimana dengan bekas tahanan ISA, ahli keluarga, peguam yang ada pandangan berbeza dan meluas dalam isu ini?" soalnya ketika dihubungi Harakahdaily pagi tadi.
Syed Ibrahim turut berkata, Hishamudin juga tidak menunjukkan kesungguhan dalam melihat akta ini secara menyeluruh apabila gagal menunaikan janji untuk membentang dan membahaskan pindaan mengenai ISA pada sesi Dewan Rakyat baru-baru ini.
"Kenapa akta ini hanya akan dibentangkan pada sesi Dewan Rakyat akan datang? Menteri tidak tunaikan janjinya. Sedangkan masa Datuk Seri Najib baru jadi PM, beliau minta ISA dikaji kemudian dibentangkan.
"Kalau betul kerajaan mengambil kira pandangan rakyat, mereka sepatutnya berusaha untuk membentangkan mengenai ISA baru-baru ini, bukan melengah-lengahkannya,"tegasnya.
Beliau turut mendakwa, kenyataan Hishamuddin untuk meminda ISA hanya sekadar untuk menawan kembali rakyat yang 'atas pagar' agar kembali memberikan sokongan penuh kepada kerajaan dengan menabur pelbagai janji manis.
Namun kata Syed Ibrahim, pada hakikatnya tiada sebarang perubahan berlaku sejak dari awal akta ini ditubuhkan sehinggalah usianya sudah mencecah 40 tahun kini.
"Saya yakin ini semua cara untuk menawan orang atas pagar dengan menunjukkan kononnya perubahan telah berlaku, kerajaan ambil kira pandangan rakyat, tapi hakikatnya tidak ada sebarang perubahan yang berlaku dalam ISA. Ia kekal 100 peratus.
"Sesiapa sahaja boleh ditahan di bawah akta ini pada ketika ini. Sekarang ini masih ada lagi sembilan orang yang ditahan dan salah seorangnya sudah lebih tujuh tahun dalam tahanan.
"Tapi itu semua orang tidak nampak sebab kerajaan pandai menyembunyikan perkara sebenar," katanya lagi.
Beliau dalam pada itu turut menyokong Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Malaysia yang menggesa kerajaan melantik sebuah jawatankuasa pilihan parlimen bagi mendapatkan maklum balas awam sebelum pindaan terhadap ISA dibahaskan di Parlimen.
Menurutnya, isu besar yang melibatkan hak asasi rakyat itu harus segera dibawa ke parlimen untuk diselesaikan.
"Saya bersetuju dengan cadangan NUJ itu. Memang perkara ini perlu ditangani di peringkat Parlimen. Apa-apa perubahan ianya perlu dibincangkan di Parlimen kerana undang digubal di peringkat Parlimen. Kalau dari segi jawatankuasa tindakan, teknikal mesti dijawab di Parlimen supaya skop perbincangan boleh diperluas.
"ISA ini kuasa eksekutif. Kami sangsi apabila pihak yang buat kajian ialah badan eksekutif, dan buat keputusan pun badan yang sama," ujarnya.
Setiausaha Agung NUJ, V.Anbalagan Sabtu lalu dilaporkan sebagai berkata, perbincangan mengenai pindaan kepada akta itu tidak harus tertumpu kepada satu kumpulan kecil.
Beliau turut mendakwa, sebagai kumpulan berkepentingan, NUJ tidak dipelawa ke sebarang perbincangan oleh KDN ataupun pendapatnya diminta.
Beliau menyebut sebagai contoh penahanan seorang wartawan selama 18 jam tahun lepas berhubung sebuah artikel.
Sementara itu, GMI ujar Syed Ibrahim, tetap dengan pendirian menuntut kerajaan memansuhkan terus akta zalim itu meskipun usaha-usaha yang dilakukan ini tidak diendahkan pihak kerajaan.
Sehubungan itu, beliau memberitahu, GMI sedang dalam perbincangan untuk mengadakan satu sesi pertemuan dengan semua ahli parlimen sebagai platform untuk menyampaikan maklumat berkenaan ISA serta sebab ia perlu dimansuhkan, bukan dipinda seperti yang dicadangkan.
Bagaimanapun, ianya perlu mendapat persetujuan daripada Ketua Pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Kami mungkin akan adakan sesi (perbincangan) dengan semua ahli parlimen tapi saya percaya yang akan datang cuma ahli Parlimen pembangkang sahaja. Kami kena bincang dengan Ketua Pembangkang (Anwar)khususnya supaya ia dapat diadakan," katanya.
Beliau turut menyeru Hishamuddin khususnya agar memberikan ruang kepada GMI untuk memberikan penerangan yang sejelas-jelasnya mengenai kepentingan ISA dimansuhkan.
GMI tegasnya sentiasa bersedia untuk berdialog dengan pihak KDN demi memastikan ISA dimansuhkan.
"Hishamuddin tolong bagi ruang kepada GMI.Walaupun sebelum ini beliau tidak layan permintaan kami untuk mengadakan pertemuan, tapi kami sentiasa bersedia. Panggil kami, kami sedia datang. Selain demonstasi, kita masih ada ruang untuk berdiskusi dan berdialaog," katanya.
Khamis lalu, Hishamuddin berkata, pindaan terhadap Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 akan dibentang dan dibahaskan pada sidang Dewan Rakyat akan datang.
Hishammuddin berkata, berikutan pertemuan dan perbincangan awam dengan kumpulan-kumpulan sasaran, Jawatankuasa Teknikal Kajian Undang-undang kini berada di peringkat akhir kajian semua pandangan dan cadangan yang dikemukakan semasa sesi berkenaan sebelum pindaan dibentangkan di Parlimen. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI