KENYATAAN ABIM MESIR TENTANG
ISU BERKAITAN DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN
Sebagai merujuk peristiwa memorandum Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dan penangkapan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap Dr Mohd Asri Zainul Abidin. Kami ABIM MESIR menyatakan perkara-perkara berikut:
1. Kami melahirkan perasaan simpati dan menyesali atas pengedaran memo dari PGSM dan penangkapan oleh pihak JAIS. Kami berharap Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dapat bersabar dan tabah.
2. Kami mengakui memo itu sarat dengan kenyataan fitnah terhadap peribadi dan intelektual yang dimiliki oleh Dr Asri Zainul Abidin.
3. Kami sebagai belia dari kalangan pelajar yang menuntut ilmu di Mesir merasa amat kesal terhadap kedangkalan fakta dan sentimen-sentimen yang wujud dalam kenyataan itu. Ia dinilai sangat tidak adil dan mengandung unsur-unsur prasangka buruk. Kami juga kesal dengan tindakan JAIS yang dinilai kasar dalam operasi penangkapan.
4. Kami juga sebagai penuntut ilmu merasa amat aib apabila kenyataan itu telah disokong oleh beberapa badan Islam, dan kami juga menyeru untuk badan yang terlibat dalam sokongan mereka terhadap memo itu dikaji semula dan dibuat tindakan susulan seperti memohon maaf dan menarik balik memo tersebut.
5. Kami juga sebagai penuntut ilmu merasa kesal dalam tindakan JAIS yang dinilai memperlekehkan kesarjanaan dan keilmuan. Seandainya kesarjanaan dan ketokohan golongan akademis tidak dihormati maka jangan hairanlah masyarakat tidak menghormati ilmu dan tidak meminati ilmu. Isu tauliah layak dikaji bagi menghormati dan menjunjung keagungan ilmu dalam masyarakat.
6. Kami, ABIM MESIR menyeru kepada seluruh badan-badan Islam untuk tidak berbalah dengan keterlaluan sehingga mencalarkan imej umat Islam. Perbezaan pendapat dalam Islam merupakan hal biasa dan ia perlu disikapi dengan positif dan bukan menggunakan kekerasan atau kuasa.Agama Islam yang sangat meraikan akal perlu diberi ruang pendedahan secara ilmiah kepada lapisan masyarakat. Usaha menghentikan sesuatu dengan tindakan kekuasaan dinilai dapat membantutkan perkembangan ilmu dan peranan akal dalam masyarakat Islam, walhal Islam sejak azalinya sangat meraikan akal. Ia jelas sangat bertentangan.
7. ABIM MESIR menegaskan kepada semua badan-badan Islam agar tidak menjadikan kekuasaan, tuduhan dan fitnah sebagai budaya dalam bersaing.
8. ABIM MESIR mencadangkan kepada badan-badan Islam untuk menggunakan saluran yang sihat bagi menyampaikan pandangan masing-masing kepada masyarakat kerana ia akan mendewasakan masayarakat Islam dengan tradisi keilmuan yang diwarisi umat Islam dari generasi ke generasi.
9. ABIM MESIR juga mengharap agar umat Islam dapat berlapang dada dalam berbeza pendapat. Pendapat boleh berbeza tetapi perselisihan jangan terjadi. Umat Islam perlu sentiasa menyedari bahawa setiap manusia tidak pernah mutlak benar dan tidak pernah mutlak salah. Kebenaran yang mutlak hanya milik Allah. Umat Islam mewariskan sebuah akhlak yang mulia iaitu tasamuh atau toleransi. Dengan menjunjung akhlak yang mulia ini umat Islam akan bersatu walau dalam keadaan berbeza pendapat.Semoga Allah memelihara umat Islam dari perpecahan.
10. ABIM MESIR juga ingin menyatakan kekesalan dan mengutuk tindakan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab yang menggunakan isu ini sebagai peluang untuk meneguk di air keruh.
Sekian. Terima kasih.
Angkatan Belia Islam Malaysia Mesir
(ABIM MESIR)
Sesi 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI