Dilulus terbit pada Saturday, May 17 @ 21:26:44 MYT oleh SongkokPutih


Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata beliau bersedia disiasat dan didakwa di mahkamah berhubung dengan hasil siasatan suruhanjaya diraja mengenai klip video peguam kanan Datuk VK Lingam.
Pendakwaan terhadapnya di mahkamah akan memberi peluang kepadanya untuk menerangkan tentang pelbagai perkara yang dilakukan oleh hakim-hakim termasuk berkenaan usaha melobi, kata mantan perdana menteri di Johor Bahru.
"Sebaliknya jikalau didakwa di mahkamah, maka saya dapat menerangkan apa yang saya lakukan dan apa yang orang lain termasuk hakim telah lakukan di dalam perkara lobi.
"Saya hendak cerita berkenaan hakim-hakim yang melobi saya. Jikalau melobi adalah salah, maka hakim-hakim ini sepatutnya disiasat," katanya selepas menyampaikan ucap utama di forum 'Umno Pasca Pilihanraya Umum ke-12' anjuran Badan Bertindak Gabungan Ahli-Ahli Akar Umno Johor dan MykmuJohor.com.

Selain Dr Mahathir dan Lingam, bekas menteri pelancongan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, tokoh korporat Tan Sri Vincent Tan, dan dua bekas ketua hakim negara iaitu Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan Tun Mohd Eusoff Chin turut dinamakan.
Menurut Bernama, Dr Mahathir berkata beliau tidak menganggap kegiatan melobi itu "perkara yang salah" kerana sepanjang menjadi perdana menteri, banyak pihak yang melobinya untuk jawatan menteri, timbalan menteri dan jawatan-jawatan lain dalam kerajaan.
Bekas perdana menteri itu berkata lagi, keputusan yang dibuatnya tentang sesuatu pelantikan termasuk hakim-hakim "berdasarkan kepada penilaiannya sendiri".
"Keputusan saya adalah berdasarkan penilaian saya. Saya tidak peduli siapa lobi, siapa cerita, kalau saya putuskan orang itu patut dilantik, saya akan lantik. Jikalau tak patut dilantik, walau dicadang oleh hakim, saya tidak akan lantik.
"Saya bukan posmen. Apabila ketua hakim cadang, saya pun kata lulus dan pergi ke Yang di-Pertuan Agong dan baginda lulus. Kalau macam itu, lebih baik kata pelantikan ketua hakim harus diputuskan oleh ketua hakim, jadi saya tiada peranan langsung. Saya tidak mahu jadi posmen," Dr Mahathir dipetik sebagai berkata.
wooo... banyak info ni.. kat blog lu. Hehehe. Bagus2. Wa dah bookmark. :D
BalasPadam