Nik Aziz Menteri Besar paling bersih di Malaysia - Gerak |
Salmah Mat Husain Wed | Mar 05, 08 | 6:12:51 pm MYT | |||||
KOTA BHARU, 5 Mac (Hrkh) - Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat menerima Anugerah Amanah Gerak 2008 yang disampaikan Pengerusi Gerakan Rakyat anti Korupsi (Gerak), Ezam Mohd Nor hari ini. Anugerah itu diberi hasil komitmennya menentang gejala rasuah sepanjang mentadbir Kerajaan Kelantan hampir 18 tahun. Anugerah tersebut disampaikan kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz pada majlis khas di Bilik Mesyuarat Pejabat Menteri Besar tengahari tadi. Ezam berkata, Tuan Guru Nik Abdul Aziz merupakan satu-satunya Menteri Besar paling bersih di negara ini kerana tidak terdapat sebarang laporan rasuah terhadap diri dan keluarganya. “Keputusan penganugerahan itu dibuat hasil mesyuarat Gerak Malaysia yang difikirkan wajar diberikan kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz. “Hasil kaji selidik yang dibuat Gerak beliau juga merupakan Menteri Besar paling dihormati dan bersih dari sudut akhlak dan komitmen tinggi melawan rasuah. “Di samping itu juga Tuan Guru Nik Abdul Aziz mempamerkan sikap sederhana sehingga dapat bertahan dalam tempoh 18 tahun mentadbir negeri ini,” katanya pada majlis tersebut. Menurutnya, selaku Pengerusi Gerak beliau mendapati Menteri Besar Kelantan mampu mempertahankan ciri-ciri kesederhanaan dalam tempoh begitu lama. Katanya, tidak ada seorang tokoh politik di Malaysia dalam tempoh 18 tahun mampu mempertahankan sikap tersebut. “Kerana itu Tuan Guru Nik Aziz layak dianugerah gelaran tersebut,” kata beliau. Pada majlis itu turut dilancarkan buku bertajuk ‘Islam dan Perjuangan Melawan Rasuah’ yang ditulis Ezam dan Helme Hanafi. Selain itu turut dilancar Manifesto Gerak bagi melawan korupsi yang dilakukan Menteri Besar. Ezam berkata, Gerak memilih Kelantan sebagai tempat yang sesuai melancarkan buku berkaitan rasuah memandangkan negeri ini bebas dari segala unsur rasuah. “Agenda Gerak sebenarnya untuk menggerakkan institusi pondok yang melibatkan agensi kerajaan sebagai fokus melawan rasuah sebagai musuh nombor satu negara. “Ia bertujuan mewujudkan budaya masyarakat bebas dari gejala rasuah bermula di peringkat tertinggi sehingga paling bawah,” ujarnya. - mj Cetak
|
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI