Badan Raja Pop seperti kedai ubat
RAJA Pop, Michael Jackson mengambil dos berlebihan ubat penahan sakit Demerol dan Metadon sejurus sebelum meninggal dunia, lapor sebuah akhbar semalam.
Campuran ubat penahan sakit itu berbahaya kepada manusia dan cukup kuat untuk membunuh orang biasa dalam kadar segera.
Bagaimanapun, Raja Pop yang terkenal dengan lagu Beat It itu terselamat sehingga saat kematiannya dua minggu lalu kerana dia biasa mengambil dos berlebihan menyebabkan badannya lali dengan kesan sampingan 'tonik maut' tersebut.
"Tubuh manusia berupaya mewujudkan toleransi terhadap dos besar ubat-ubatan tetapi tubuh akhirnya berhenti berfungsi kerana beban ubat berlebihan. Itu yang berlaku kepada Michael," kata satu sumber.
Penemuan mengejutkan itu terkandung dalam laporan awal ujian keracunan yang diserahkan kepada pejabat koroner daerah Los Angeles di sini kelmarin.
Laporan tersebut didedahkan ketika beberapa sumber menyatakan kematian penyanyi bergelar Jacko itu ada kaitan dengan jenayah pembunuhan.
"Michael tak ubah seperti kedai ubat semasa dia meninggal dunia. Dia tidak akan mampu bertahan," tambah sumber itu.
Selain dos maut Demerol dan Metadon, ujian darah turut mengesan kandungan ubat penenang, Xanax dalam jumlah yang tinggi.
Turut dikesan dalam darah Jacko ialah ubat bius Propofol yang hanya dibenarkan digunakan di hospital-hospital tetapi penyanyi tersebut mengambilnya sebagai ubat tidur.
"Laporan itu dijangka meningkatkan tekanan terhadap pihak polis untuk mengenal pasti bagaimana Jacko memperoleh pelbagai ubat preskripsi dan mencari doktor-doktor yang cuai kerana membekalkannya," jelas sumber berkenaan.
Penyanyi terhebat sepanjang zaman itu meninggal dunia pada 25 Jun lalu akibat serangan jantung di kediaman yang disewanya di sini.
- Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI