Dilulus terbit pada Saturday, September 13 @ 07:24:24 MYT oleh greenboc
Oleh puyuh
"
Saya mengecam penahanan aktivis sosial dan penulis blog terkenal, Raja Petra Kamaruddin, di bawah undang-undang kuku besi ISA.
Dengan menggunakan ISA untuk menghalang proses perubahan di Malaysia, kerajaan Barisan Nasional yang diketuai UMNO mengesahkan ianya telah tidak berpijak di atas sokongan rakyat dan sudah tidak mampu memimpin Malaysia dengan adil dan demokratik.
Saya menegaskan Raja Petra mesti dibebaskan segera dan sebarang tuduhan yang dibuat oleh Kementerian Hal Ehwal dalam Negeri mestilah diselesaikan dengan segera mungkin menuruti proses undang-undang. Raja Petra seharusnya dibenarkan untuk berjumpa peguam dan anggota keluarganya mestilah dibenarkan untuk berjumpa beliau sewaktu dalam tahanan.
Penahanan Raja Petra dan surat tunjuk sebab yang dikeluarkan hari ini kepada Sin Chew Daily, The Sun dan Suara Keadilan di samping halangan terdahulu terhadap laman web politik yang terkenal, menunjukkan dengan jelas kesediaan kerajaan untuk melumpuhkan kebebasan bersuara di saat rakyat berani untuk meluahkan rasa tidak puas hati terhadap dasar kerajaan.
Selepas Pilihanraya 8 Mac dan Pilihanraya Kecil Permatang Pauh, rakyat Malaysia telah menzahirkan keberanian dan iltizam mereka untuk membina satu masyarakat yang demokratik. Penahanan ini tidak akan meredakan merudumnya kredibiliti pentadbiran sekarang, malah hanya akan mempercepatkan kejatuhan pentadbiran ini.
KeAdilan mengulangi bantahan keras terhadap sebarang tindakan menahan individu secara sewenang-wenangnya. Kami secara konsisten menggesa pembebasan semua tahanan ISA kerana tindakan itu bertentangan dengan prinsip masyarakat demokratik. ISA ternyata digunakan untuk melumpuhkan sebarang kritikan dan digunakan terhadap individu yang mempertahankan hak kebebasan suara mereka yang bertentangan dengan pemerintah.
Menggunakan ISA hanya beberapa hari sebelum 16hb September jelas satu usaha untuk mencipta ketakutan dan ketidakstabilan palsu buat menjustifikasikan taktik kerajaan ke atas mereka yang bersama pembangkang.
ANWAR IBRAHIM
Ketua Pembangkang
13 September 2008