Posted on Saturday, November 14 @ 14:45:17 PST by SongkokPutih
Oleh: pasilathandal
"Apabila kita membicarakan tentang isu sihir maka kebiasaanya kita akan berhadapan dengan tiga golongan manusia iaitu mereka yang tidak mempercayai kewujudannya, mereka yang terpengaruh serta menggunakan khidmat ahli sihir dan mereka yang terlalu takut dengan kesan ilmu sihir sehingga tidak mengetahui apakah tindakan yang perlu dilakukan bagi melindungi diri mereka dari terkena sihir.
Apa itu sihir? Menurut Ibnu Qudamah Al-Maqdisi di dalam al-Mughni sihir adalah ikatan-ikatan, jampi-jampi, perkataan yang dilontarkan secara lisan mahupun tulisan, atau melakukan sesuatu yang mempengaruhi badan, hati atau akal orang yang terkena sihir tanpa berinteraksi langsung dengannya. Sihir ini mempunyai hakikat di antaranya ada yang boleh membunuh, menyakiti, membuat seseorang suami tidak boleh menggauli isterinya atau memisahkan pasangan suami isteri, atau membuat salah satu pihak membenci lainnya atau membuat kedua belah pihak saling mencintainya.
Amalan sihir ini sebenarnya mempunyai hubung kait yang rapat dengan alam jin dan syaitan. Tukang sihir, pawang, dukun atau bomoh menjalankan ilmu-ilmu hitamnya menerusi pertolongan jin dan syaitan. Ahli sihir perlu melakukan amalan-amalan syirik, khurafat dan tahyul terlebih dahulu demi untuk mengukir persahabatan yang erat dengan jin dan syaitan yang mereka pergunakan untuk melakukan kerja-kerja jahat mereka. Apabila tukang sihir meningkatkan amalan-amalan yang kufur tersebut, maka jin dan syaitan itu akan lebih taat kepadanya dan lebih cepat melaksanakan perintahnya. Sehubungan dengan itu tukang sihir dan syaitan merupakan teman setia yang saling bekerjasama dalam melakukan perbuatan yang terkutuk di sisi syarak dan ini merupakan perbuatan yang telah dicela oleh Allah S.W.T sebagaimana firman-Nya: “Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat.” (al-Jinn : 6)
Bagi sesetengah pihak, sekiranya sesuatu perkara itu tidak boleh dibuktikan mengikut kaedah saintifik maka dia akan menolaknya secara mentah-mentah seolah-olah ilmu sains itu merupakan suatu cabang ilmu yang telah sempurna tanpa cacat-cela. Tahukah mereka bahawa ilmu sains itu sentiasa berkembang dan penemuan-penemuan baru sentiasa diumumkan dari masa ke semasa. Adakalanya penemuan-penemuan baru itu membatalkan penemuan-penemuan terdahulu yang setelah diteliti semula ia didapati kurang tepat. Tidak mustahil juga sekiranya sesuatu perkara itu tidak dapat dibuktikan oleh teknologi sains pada masa kini tetapi dapat disahkan benar pada masa hadapan. Dalam erti kata lain ilmu Sains bukanlah sesuatu cabang ilmu yang telah sempurna atau maksum. Sesuatu perkara itu hanya kita boleh diyakini sebagai seratus peratus benar sekiranya ia termaktub di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah.
Apa pun sihir dan alam jin ini sebenarnya termasuk dalam perkara-perkara ghaib dan bagi umat Islam perkara sedemikan rupa hendaklah kita tunduk dan patuh kepada nas-nas dari al-Qur’an dan hadis. Sekiranya sihir itu tidak wujud mana mungkin Allah S.W.T menyuruh kita berlindung diri dari perbuatan tukang sihir sebagaimana firman-Nya: Katakanlah (wahai Muhammad); "Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk, dari bencana makhluk-makhluk yang Dia ciptakan; dan dari bahaya gelap apabila ia masuk; dan dari kejahatan makhluk-makhluk (tukang sihir) yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan); dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan dengkinya". (al-Falaq : 1-5) Di dalam al-Qur’an juga terdapat kisah-kisah tentang Nabi Musa a.s. bertarung dengan tukang-tukang sihir Fir’aun. Bahkan dalam riwayat hidup Rasulullah baginda juga pernah terkena sihir Labid bin al-A'sham, seorang tukang sihir Yahudi sebagaimana yang telah diriwayatkan dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim.
Bagi mereka yang terbabit dengan perbuatan sihir dan suka bertemu dengan ahli sihir seperti pawang, dukun dan bomoh, ketahuilah bawah amalan sihir ini termasuk dalam kategori dosa-dosa besar. Nabi s.a.w. bersabda: “Jauhilah diri kamu daripada tujuh dosa yang boleh membinasakan.” Baginda ditanya: “Apakah dosa itu wahai Rasulullah?” Baginda berkata: “Syirik kepada Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah melainkan dengan jalan yang benar, memakan harta anak yatim, memakan riba, lari dari medan pertempuran perang dan menuduh perempuan yang suci melakukan zina.”(Hadis riwayat Imam al-Bukhari)
Sehubungan dengan itu adalah diharamkan untuk bertemu bahkan mempercayai ahli sihir dan tukang ramal kerana ia merupakan perbuatan yang kufur. Sabdanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Bukan termasuk golongan kami yang melakukan atau meminta tathayyur (menentukan nasib sial berdasarkan tanda-tanda benda,burung dan lain-lain), yang meramal atau yang meminta diramalkan, yang menyihir atau meminta disihirkan dan barangsiapa mendatangi peramal dan membenarkan apa yang dia katakan, maka sesungguhnya dia telah kafir terhadap wahyu yang diturunkan kepada Muhammad s.a.w."(Hadis riwayat al-Bazzaar)
Tukang-tukang sihir ini telah banyak melakukan kerosakan serta huru-hara di dalam sesebuah masyarakat. Lantaran itu majoriti para ulama mengharuskan hukuman bunuh terhadap tukang sihir. Akan tetapi Imam al-Syafi’i r.h berpendapat tukang sihir hanya boleh dikenakan hukuman bunuh sekiranya dia menggunakan ilmu sihirnya itu untuk membunuh jiwa insan yang lain. Imam al-Syafi’i mengkategorikan hukuman terhadap tukang sihir ini sebagai qisas.
Dalam usaha seseorang itu untuk menghindarkan diri dari terkena sihir, janganlah pula dia turut mengamalkan perbuatan yang memiliki unsur sihir atau meminta pertolongan daripada ahli sihir. Hendaklah setiap umat Islam melindungi diri mereka dari niat jahat tukang-tukang sihir itu dengan membaca ayat-ayat al-Qur’an serta doa-doa yang telah diajar oleh Rasulullah s.a.w. Berikut adalah beberapa petua yang di ambil dari hadis-hadis baginda.
§ Membaca ayat Kursi iaitu surah al-Baqarah ayat 255 setiap kali selesai solat lima waktu dan sebelum tidur.
§ Membaca surah al-Ikhlas, al-Falaq dan al-Naas setiap kali selesai solat lima waktu dan membaca ketiga surah tersebut sebanyak tiga kali pada pagi hari sesudah solat Subuh dan menjelang malam sesudah solat Maghrib.
§ Membaca dua ayat terakhir dari surat al-Baqarah iaitu ayat 285-286 pada permulaan malam.
§ Membaca doa
أَعُوْذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ
"Aku berlindung dengan kalimat-kalimat Allah yang sempurna dari kejahatan makhluk ciptaan-Nya" pada malam hari dan siang hari ketika ingin pergi atau masuk ke sesuatu tempat.
§ Membaca doa
بِسْمِ اللهِ لاَ يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي اْلأَرْضِ وَلاَ فِي السَّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ
"Dengan nama Allah, yang bersama nama-Nya, tidak ada sesuatu pun yang membahayakan, baik di bumi mahupun di langit dan Dia Maha Mendengar dan Maha Mengetahui." tiga kali pada pagi hari dan menjelang malam.
Menurut Syaikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz r.h bacaan-bacaan zikir dan permohonan perlindungan di atas ini merupakan sebab-sebab yang besar untuk memperoleh keselamatan dan untuk menjauhkan diri dari kejahatan sihir atau kejahatan lainnya iaitu bagi mereka yang selalu mengamalkannya secara benar disertai keyakinan yang penuh kepada Allah, bertumpu dan pasrah kepada-Nya dengan lapang dada dan hati yang khusyuk.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI