5 lagi korban, catat 32 kematian
|
|
|
|
KUALA LUMPUR - Wabak selesema babi (H1N1) yang semakin menular di negara ini meragut lima lagi nyawa semalam menjadikan angka korban pandemik itu meningkat kepada 32 orang.
Peningkatan kes terbaru itu menjadikan jumlahnya sudah mencecah sebanyak 1,983 kes dengan tambahan 203 kes yang kesemuanya adalah jangkitan tempatan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican dalam satu kenyataannya semalam memberitahu, hanya satu daripada lima kematian itu berlaku kelmarin manakala selebihnya dicatatkan pada 5 Ogos dan 8 Ogos lalu.
"Empat daripada kes kematian ini didapati mempunyai faktor risiko," jelasnya.
Menurut Mohd. Ismail, pada masa kini seramai 67 pesakit sedang dirawat di hospital dan 15 orang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Bagi kes yang dirawat di ICU, enam daripada mereka mempunyai faktor risiko iaitu penghidap penyakit kronik, tiga kes obesiti, seorang ibu yang baru bersalin dan seorang bayi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI