Ubat bius ditemui di rumah Jacko
|
|
UBAT bius yang selalu digunakan dalam bilik pembedahan di hospital dengan tujuan untuk menjadikan pesakit tidak sedarkan diri telah ditemui dalam rumah penyanyi Michael Jackson di Los Angeles.
Pendedahan itu dibuat oleh seorang pegawai penguat kuasa yang disiarkan oleh media kelmarin ketika pihak bandar raya Los Angeles melakukan persiapan bagi mengendalikan majlis penghormatan terakhir penyanyi tersebut.
Ubat yang ditemui itu ialah Diprivan yang turut dikenali dengan nama Propofol tetapi amat jarang disimpan di sesebuah rumah.
Bagaimanapun, seorang jurucakap polis Los Angeles, Leftenan John Romero enggan memberikan maklumat dengan lebih lanjut.
"Siasatan masih dilakukan," katanya.
Punca kematian Michael yang dikenali dengan panggilan mesra Jacko masih belum diketahui walaupun majlis pengebumiannya akan diadakan pada Selasa ini.
Sementara itu, seorang lagi pegawai polis, Earl Paysinger berkata, antara 250,000 hingga 700,000 orang dijangka berada di Pusat Staples di sini bagi menyaksikan majlis penghormatan terakhir Jacko.
Seorang anggota majlis bandar raya itu, Jan Perry meminta orang ramai supaya tidak keluar rumah dan menyaksikan majlis pengebumian itu menerusi televisyen. - AP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI