Posted on Saturday, February 23 @ 10:21:38 MYT by SongkokPutih
"
Segala pujian untuk Allah Tuhan seluruh alam. Berbanyak selawat dihulurkan buat nabi junjungan, rasul termulia sepanjang zaman, Nabi Muhammad al-musthafa ‘alaihissolatu wassalam. Buat seluruh jentera pilihan raya PAS dan PKR yang muslim.
Sesungguhnya Allah swt sangat menyayangi kita semua lantaran itu kita bersama dengan agamaNya yang mulia ini. Malah bukan itu sahaja, Dia memilih kita untuk menjalankan urusan memuliakan agamaNya di negara ini. Biarpun setiap kita merasakan diri ini tidak layak untuk memikulnya, ia suatu yang jangan dipersiakan dengan kelalaian dan kealpaan.
Munajat dan taubat.
Berpijak di atas bumi yang nyata, menjunjung perintah rasul yang tercinta, marilah sama-sama kita meningkatkan usaha untuk mendekatkan diri kepada pemilik sebenar perjuangan suci ini, Tuhan Rabbul Jalil. Tiada siapa tempat kita mengadu ketika dikelilingi musuh yang menanti, selain Tuhan Maha Perkasa yang mengubah dan mencipta sesuatu dengan Kun, maka terjadilah. Mudah-mudahan pengaduan itu membawa kebaikan yang besar.
Dua cara yang telah dan sedang kita usahakan ke arah mendekati Allah ta’ala ialah bermunajat dan bertaubat. Ya, munajat dan taubat mengukuhkan keazaman dan thabat perjuangan.
Munajat saya maknakan bahawa kita kembali merebahkan diri di hadapan Pencipta teragung. Menelanjangkan diri bagi mendedahkan semua keburukan dan keterlanjuran diri bagi diampunkan dosa dan noda, terus mencari dan meraba-raba simpati Tuhan untuk beroleh keampunan dan kasih sayangNya.
Marilah kita bersama-sama meningkatkan usaha bermunajat kepada Allah ‘azza wa jalla. Jangan lagi dilalaikan dengan kekuatan dan kehebatan diri yang dipinjamkan, kemudian lupa kepada pergantungan dan penyerahan. Juga jangan disibukkan dengan kenikmatan hidup yang sementara, kemalasan yang bermaharaja lela dan kebiadaban tidak mahu mencari Allah ta’ala dalam perjuangan ini.
Firman Allah : Maka ketahuilah, bahawa sesungguhnya tidak ada Tuhan melainkan Allah dan mohonlah ampunan bagi dosamu dan bagi dosa orang-orang mukmin, lelaki dan perempuan. Dan Allah mengetahui tempat kamu berusaha dan tempat tinggalmu. Muhammad; 19.
Ketika bermunajat, kita tidak hanya mengharapkan bantuan dan kemenangan semata-mata, sebaliknya dimulai dengan berusaha membersihkan diri dan jiwa.
Dosa yang menimpa-nimpa di atas setiap pundak pejuang ini mesti disingkirkan, dihumban jauh2 dan dibenamkan ke dasar lautan, jika mampu. Semuanya bermula dengan sebuah taubat yang suci. Ketika itulah munajat sangat bererti, iaitu ketika ianya disulami dengan taubat yang sebenarnya dan penyesalan yang bukan kecil terhadap semua dosa kecil dan besar yang diamalkan saban masa. Jika semuanya bergerak lurus, insyaAllah kebaikan akan muncul pada masanya.
Harapan kita semua ialah Allah akan mengambil kira munajat dan taubat ini dengan memberi apa yang diingini oleh pejuang di dunia ini. Sesungguhnya Maha Mengetahui Allah akan apa yang kita usahakan, di mana kita berusaha dan apa yang kita mahukan daripada usaha tersebut.
Oleh itu jangan sekali-kali dosa itu dibiarkan mengiringi di sepanjang perjalanan ini. Perbanyakkan apa sahaja yang membawa ke arah penyucian. Paling tidak adalah dengan memperbanyakkan beristighfar kepadaNya. Itu juga dikira bermunajat dan bertaubat kepada Allah ta’ala.
Direkodkan bahawa para ulama silam sering mengamalkan zikir istighfar beratus kali untuk melepaskan diri daripada masalah dan ujian hidup yang dilaluinya. Bukan kecil cabaran beliau ketika berhadapan ancaman penguasa bongkak dan zalim.
Munajat dan taubat mengagungkan Tuhan.
Munajat dan taubat ini juga tanda kita mengecilkan diri di hadapan Allah ta’ala yang Maha Agung. Direkod di dalam surah az-Zumar ayat ke 91, Allah berfirman yang bermaksud:
Dan mereka tidak mengagungkan Allah dengan pengagungan yang semestinya padahal bumi seluruhnya dalam genggamanNya pada hari kiamat dan langit digulung dengan tangan kananNya.Maha suci Tuhan dan maha tinggi Dia daripada apa yang mereka persekutukan.
Nah, bumi dan langit serta seisinya bukan milik mereka, bukan milik manusia dan bukan milik kezaliman itu,maka marilah kita terus mengagungkan Allah yang memiliki dunia dan perjuangan ini. Jangan pula kita seperti mereka yang berterusan bongkak, sombong dan takabbur melata di bumi ini, sambil lupa mengagung dan membesarkan Tuhan siang dan malam.
Munajat dan taubat menyatukan tenaga.
Selain itu, apa yang kita mahukan daripada munajat dan taubat ini adalah kekuatan bersatu dan bertenaga. Ia datang daripada Allah, kepada Dialah kita mencari kesatuan tenaga dan satu itu Allah mengingatkan di dalam Anfal, ayat ke 63:
Walaupun kamu membelanjakan semua kekayaan yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat menyatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatukan hati mereka. Sesungguhnya dia maha perkasa lagi maha bijaksana.
Jelas, hanya Allah yang mampu menyatukan kita semua, maka kepada Dialah kita berambat, berkejar dan bertolak-tolak untuk mendekati dan mengharapNya. Tanpa kesatuan itu, cerai-berailah kita. Tanpa kesatuan itu, lemahlah kita. Tanpa kesatuan itu, robohlah kita di hadapan manusia yang tidak pernah mahu mengagungkan Allah ta’ala.
Maka jika kita berjaya merakyatkan munajat dan taubat di kalangan jentera pilihanraya ini, mengagungkan Tuhan yang Maha Kuat, memperolehi kasih sayang, dan keampunanNya, terus, mampu bersatu dan mengukuhkan tenaga, kita akan terus mengingati janjiNya di dalam al-A’raf, ayat ke 96.
KataNya: Jikalau sekiranya penduduk sesebuah negeri beriman dan bertakwa, pasti Kami akan melimpahkan kepada mereka barakah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan ( ayat-ayat kami ) itu, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatan mereka.
Ayat ini membawa erti kita tiada pilihan selain memenuhi ciri iman dan takwa melalui munajat dan taubat tadi, jika tidak mahu termasuk dalam golongan mereka yang akan disiksa Allah taala, walaupun tidak menyertai barisan mereka, lantas terus menjadi orang yang tewas dalam perjuangan.
InsyaAllah, munajat dan taubat menyatukan tenaga dan menunjuki jalan kemenangan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI