Rabu, Mac 26, 2008

Pemilihan Umno: Mukhriz tuntut janji Abdullah

Pemilihan Umno: Mukhriz tuntut janji Abdullah
Abdul Halim Mohd Rashid
Wed | Mar 26, 08 | 11:54:48 am MYT

KUALA LUMPUR, 26 Mac (Hrkh) - Pemilihan Umno yang dijadualkan pada tahun ini tidak wajar ditunda kerana perkara itu telah dijanjikan oleh Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, tahun lepas.

Exco Pemuda Umno, Datuk Mukhriz Mahathir "merayu kepimpinan Umno supaya tidak menunda pemilihan dan ikutlah seperti apa yang telah dikatakan (oleh Presiden parti itu pada tahun lepas) iaitu pemilihan akan diadakan pada tahun ini".

Ahli Parlimen Jerlun itu juga menekankan, pemilihan Umno yang dijadualkan pada tahun ini wajar diadakan bagi menghormati suara para anggota Umno untuk memilih siapakah pemimpin yang mereka kehendaki.

Mukhriz yakin pertandingan merebut jawatan tidak akan menyebabkan perpecahan dalam parti kerana perwakilan sekarang mampu membuat keputusan yang bijak tanpa emosi.

Beliau berkata pemimpin Umno mesti mengikut perlembagaan parti dan semua anggota Umno harus membuat keputusan yang rasional dan bijak.

Ketua Penerangan Umno Tan Sri Muhammad Muhd Taib mendakwa, badan-badan perhubungan Umno negeri menyarankan supaya pemilihan parti yang dijadual diadakan tahun ini ditunda kepada Jun tahun depan bagi mengelakkan kekecohan dalam parti.

Kenyataan Muhammad itu dipercayai mempunyai kaitan dengan tindakan Tengku Razaleigh Hamzah menawarkan diri untuk dicalonkan sebagai Presiden Umno bagi "merawat" parti itu.

Tuntutan 80 ketua cawangan Umno Bahagian Muar yang mendesak pemimpin mereka mengadakan mesyuarat agung khas bahagian itu untuk menuntut Abdullah berundur juga dipercayai mendorong cadangan menangguhkan pemilihan parti itu.

Jurucakap mereka, Zakariah Mahadi menyatakan, kepimpinan Umno mestilah bertanggungjawab atas keputusan pilihan raya baru-baru ini dan meletak jawatan.

Zakariah, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Balang menyatakan, ramai ahli Umno di bahagian Muar yang sedih dengan kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu.

"Kami juga mengambil keputusan untuk memberikan sokongan kepada usaha Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah untuk memulihkan maruah Umno," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Umno Bahagian Cheras menyarankan semua jawatan tertinggi parti itu di semua peringkat, termasuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dipertandingkan.

Cadangan itu adalah satu daripada 12 resolusi yang dilulus oleh ahli-ahli Umno Bahagian Cheras pada Mesyuarat Khas Empat Peringkat mereka.

Ketua Umno bahagian Cheras Senator Datuk Wira Syed Ali Al-Habshee berkata cadangan yang akan dikemukakan kepada Majlis Tertinggi Umno itu dibuat berikutan kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum baru-baru ini.

"Kalau jawatan-jawatan ini tidak dipertandingkan, kita tidak tahu kekuatan Presiden dan Timbalan Presiden di dalam parti. Jika ada pertandingan, kita boleh menilai kekuatan Presiden dan Timbalan Presiden di akar umbi," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

SILA BERI KOMEN ANDA DISINI