Sabtu, Februari 21, 2009

Lebih 270,000 rakyat Malaysia menghidapi skizofrenia

KUALA LUMPUR - Lebih 270,000 rakyat Malaysia menghidapi skizofrenia, sejenis penyakit mental tanpa menyedarinya, menurut seorang pakar psikiatri, Prof Dr Mohammad Hussain Habil.

Beliau berkata, kegagalan menyedari hakikat itu adalah kerana mereka tidak dapat mengenal pasti simptom penyakit berkenaan dan terlalu bergantung kepada bomoh, sinseh dan perantara untuk menyembuhkan mereka.

Mohammad, yang juga Ketua Jabatan Psikiatri, Pusat Perubatan Universiti Malaya (UMMC), berkata, kemajuan dalam bidang sains perubatan, skizofernia boleh dipulihkan sepenuhnya jika dikesan dari awal.

Beliau berkata, jika penyakit dibiarkan tanpa rawatan, ia boleh membahayakan pesakit skizofernia akan menjadi lebih ganas dan boleh membunuh diri atau membunuh anggota keluarga ataupun jiran mereka.

Menurutnya, adalah penting mengenal pasti simptom awal seperti menjerit dan memekik tanpa sebab, secara tiba-tiba tidak berminat dengan kerja, memutuskan hubungan, tidak menghiraukan kebersihan diri dan bertindak ganas.

Penyakit ini tidak semestinya disebabkan keturunan, tetapi adalah lebih akibat daripada perubahan kimia dalam sel-sel otak dan ia tidak hanya terbatas dalam kumpulan etnik tertentu atau kepercayaan.

Mohammad menasihatkan ibu bapa mengawasi simptom berkaitan kerana penyakit ini dilihat ketara dalam kalangan remaja.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

SILA BERI KOMEN ANDA DISINI