Penyokong BN boikot Anwar
Ramai keluar Dewan ketika ucapan 5 jam
KUALA LUMPUR: Ucapan perbahasan sulung Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai Bajet 2009 di Dewan Rakyat semalam selepas 11 tahun 'meninggalkan' Parlimen, gagal menarik perhatian penyokong kerajaan apabila ramai Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) keluar masuk dewan sepanjang ucapannya hampir lima jam itu.
Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mula berucap pada jam 11 pagi selaku Ketua Pembangkang bagi membahaskan Bajet 2009, sebelum menyambung semula pada jam 2.30 petang hingga 5.30 petang selepas Dewan Rakyat berhenti rehat pada jam 1 tengah hari.
Pada sidang media di lobi Parlimen, Anwar berkata pembangkang tidak akan mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada sidang yang sedang berjalan sekarang kerana mahu menumpukan kepada Bajet 2009.
Anwar berkata, soal tarikh baru untuk Pakatan Rakyat menubuhkan kerajaan Persekutuan juga bukan menjadi keutamaan sekarang.
"Tidak.. saya tidak akan bagi tarikh (baru)," katanya yang sebelum ini menetapkan 16 September lalu dan baru-baru ini pula menyuarakan keyakinannya bahawa Pakatan Rakyat dapat menubuhkan kerajaan Pusat selepas Aidiladha, awal Disember depan.
Abdullah yang diminta mengulas mengenai hasrat Pakatan Rakyat itu bagaimanapun menyifatkannya sebagai karut dan membuang masa.
"Mengapa pula ada (ahli Parlimen BN) yang mahu meninggalkan parti? Saya tak fikir mereka akan berbuat begitu. Ini semua karut tetapi mereka (pembangkang) terus melakukannya kerana mahu menarik perhatian, saya fikir mereka membuang masa," katanya.
Beliau berkata, BN memenangi pilihan raya umum lalu dan diberi amanah oleh rakyat untuk mentadbir negara dengan majoriti yang besar.
"Kita membentuk kerajaan yang kuat dan akan terus melakukan apa yang mampu untuk membangunkan negara dan ekonomi. Ini adalah peluang yang diberikan kepada parti. Jadi kenapa pula ada yang mahu meninggalkan parti?" katanya.
Sementara itu, sesi perbahasan di Dewan Rakyat semalam lebih dikuasai Ahli Parlimen pembangkang yang saling mencelah bagi mendapatkan penjelasan Anwar berhubung isu yang dibangkitkan, selain memuji ketokohannya serta memperlekehkan kepemimpinan Umno dan BN.
Hanya Ahli Parlimen BN dari Batu Pahat, Dr Puad Zarkashi dan Datuk Bung Mokhtar Radin (Kinabatangan), yang mencelah ketika Anwar berucap.
Malah, ada ketikanya hanya seorang menteri, dua timbalan menteri dan tidak sampai 10 Ahli Parlimen BN berada di dalam dewan ketika Anwar berucap, selain beberapa menteri kelihatan mundar-mandir di lobi Parlimen atau berada di kafe.
Anwar yang menyedari keadaan itu kemudiannya mempertikaikan ketiadaan Timbalan Perdana yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak, pada sesi perbahasan itu.
Katanya, Najib perlu mendengar perbahasan mengenai bajet, apatah lagi Bajet 2009 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 29 Ogos lalu didakwa sudah ketinggalan berikutan unjuran pertumbuhan yang dicadangkan tidak relevan lagi kerana krisis ekonomi dunia sekarang.
"Kita mendesak kerajaan membentangkan semula bajet baru. Angka dan unjuran yang dibentang dulu jauh berbeza sekarang dan ini memberi kesan besar pada ekonomi dan kehidupan rakyat," katanya yang mempertikaikan rasionalnya perbahasan bajet kali ini.
Dewan Rakyat sebelum ini ditangguhkan selama sebulan berikutan Ramadan dan dimulakan semalam dengan pembahasan ucapan Bajet 2009 yang ditetapkan selama empat hari di peringkat dasar dan kemudian diteruskan di peringkat jawatankuasa selama empat hari.
Bagaimanapun, Dewan Rakyat boleh melanjutkan masa perbahasan peringkat dasar dan jawatankuasa melalui budi bicara Yang Dipertua.
Sidang semalam berakhir pada jam 5.30 petang dan Timbalan Speaker, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar membenarkan Anwar menyambung perbahasannya hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI