Isnin, Mac 10, 2008

Tiga calon MB belum angkat sumpah

Tiga calon MB belum angkat sumpah
Mar 9, 08 5:13pm
Pesuruhjaya PAS Kedah, Azizan Abdul Razak, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar yang baru petang ini selepas negeri itu jatuh ke tangan pakatan pembangkang dalam pilihanraya semalam.

Daripada hanya lima kerusi pada 2004, PAS melompat kepada 16 kerusi, PKR (empat) manakala DAP dan bebas masing-masing satu . Negeri itu memiliki 36 kerusi DUN.

Keputusan mengejutkan itu sejurus selepas Pulau Pinang dilaporkan berjaya ditawan gabungan DAP-PKR.

Manakala Selangor dan Perak turut menyaksikan perubahan kerajaan negeri.

Azizan, penyandang DUN Sungai Limau, menambah majoriti kepada 3,212 daripada 1,080 undi.

Beliau mengangkat sumpah di Istana Anak Bukit, Alor Star kira-kira 3.30 petang.

Turut hadir, beberapa pemimpin kanan PAS negeri.

PAS akan membentuk kerajaan campuran dengan PKR. Setakat ini, belum pasti sama ada DAP akan menyertai kerajaan itu.

Sementara itu, seorang lagi wakil rakyat PAS dijangka dilantik sebagai Menteri Besar Perak selepas gabungan DAP-PAS-PKR berjaya menawan negeri itu dengan kelebihan tiga kerusi awal pagi tadi.

Mohamad Nizar Jamaluddin, seorang jurutera, menang di kerusi Pasir Panjang dengan majoriti 4,474 undi.

Perak mempunyai 59 kerusi DUN, pembangkang merebut 31 kerusi dengan meninggalkan BN 28 kerusi sahaja.

DAP menang di 18 kerusi, PKR (tujuh) dan PAS (enam).

Pesuruhjaya PAS Ahmad Awang memberitahu Malaysiakini petang ini, keputusan melantik Mohamad Nizar belum muktamad dan dijangka dapat dipastikan petang esok.

Katanya, calon menteri besar itu mestilah seorang berbangsa Melayu dan boleh dipilih daripada sembilan wakil rakyat PAS dan PKR.

Di Selangor, calon Menteri Besar Tan Sri Abd Khalid Ibrahim akan menghadap baginda Sultan pada 2 petang esok.

Beliau menang di Ijok dengan majoriti 1,920 undi setelah tewas dengan 1,850 undi pada pilihanraya kecil tahun lepas.

Kerajaan baru itu sedang mengkaji kemungkinan untuk melaksanakan enakmen kebebasan maklumat dan pilihanraya pihak berkuasa tempatan jika dibenarkan undang-undang, katanya di sidang media petang tadi.

Pembangkang menguasai 36 daripada 56 DUN dengan pecahan PKR (15 kerusi), DAP (13) dan PAS (lapan).

Di Pulau Pinang, setiausaha agung DAP, yang juga wakil rakyat Air Putih, Lim Guan Eng akan mengangkat sumpah lusa bagi membolehkan bekas ketua menteri Tan Sri Koh Tsu Koon turut menghadirinya.

Koh, yang juga pemangku presiden Gerakan, berada di Kuala Lumpur esok untuk majlis pembentukan kerajaan pusat BN.

Lim menang dengan majoriti 4,061 undi selepas tidak dibenarkan bertanding pada 1999 dan 2004 akibat disabitkan kesalahan bawah Akta Hasutan.

DAP menang di semua 19 kerusi yang ditandinginya, PKR (sembilan) dan PAS (satu) daripada 40 kerusi DUN.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

SILA BERI KOMEN ANDA DISINI