| 'Abdullah tiada niat lepas jawatan' |
| Mar 9, 08 5:40pm |
| Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak bercadang melepaskan jawatan, kata seorang jurucakapnya hari ini, walaupun BN mengalami ketewasan besar dan memalukan dalam sejarah. "Beliau tidak berhasrat melepaskan jawatannya," kata Kamal Khalid kepada agensi berita AFP, walaupun beliau akui perdana menteri "terkejut" dengan kekalahan besar-besaran itu. "Beliau sebenarnya menerima agak banyak sokongan daripada pemimpin-pemimpin kanan parti dan beliau akan mengangkat sumpah sebagai PM esok," tambahnya. Abdullah kini berdepan desakan untuk meletakkan jawatan selepas BN gagal mempertahankan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat bagi kali pertama sejak 1969 dan terpaksa melepaskan empat lagi negeri kepada pakatan pembangkang. "Perdana Menteri terperanjat dengan ketewasan itu semalam, tetapi begitu pun, walaupun kerajaan tidak mendapat majoriti dua pertiga, ia (keputusan) memang hampir-hampir dan BN masih boleh membentuk sebuah kerajaan," tegas jurucakap itu lagi. Sementara itu pemimpin-pemimpin kanan Umno telah berkumpul di kediaman rasmi Perdana Menteri di Putrajaya bagi menyatakan kesediaan berdiri di belakangnya. Menurut satu laporan, para pemimpin Umno yang dilihat berada di Seri Perdana termasuklah timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Azalina Othman Said, Datuk Seri Idris Jusoh (menteri besar Terengganu), Datuk Seri Zulhasnan Rafique, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (ketua Pemuda), Datuk Seri Shahrizat Jalil, Tan Sri Nor Mohamed Yakcob, Datuk Mohamed Khaled Nordin, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib (ketua penerangan), Datuk Seri Mohamad Hassan (menteri besar Negeri Sembilan) dan Datuk Seri Rafidah Aziz. Abdullah bagaimanapun dikecam bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang melepaskan jawatan itu kepada Abdullah pada 2003 selepas dua dekad mengepalai Umno dan BN. "Pada pendapat saya, beliau telah merosakkan Umno, memusnahkan BN dan beliau mesti bertanggungjawab," kata Dr Mahathir kepada wartawan hari ini. Beliau mencadangkan Abdullah meletakkan jawatan, dan menambah beliau telah tersilap melantik bekas timbalanya itu sebagai perdana menteri. "Saya fikir beliau harus menerima tanggungjawab atas (kekalahan) ini. Beliau mesti menerima tanggungjawab 100 peratus," katanya. |
Selamat Melayari Ambuyat El-Binangkit yang sarat dengan INFO berkaitan AGAMA termasuk Hujjah Kebenaran Islam, tidak ketinggalan ISU SEMASA dan SENSASI. Inilah sumbangan Ana dalam MENCARI KEREDHAAN ALLAH SWT.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI