| Harakahdaily Wed | Mar 26, 08 | 11:50:41 am MYT | |
| KUALA LUMPUR, 26 Mac (Hrkh) - Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib mengakui jika pemilihan pucuk pimpinan Umno diteruskan Ogos depan, nescaya parti itu akan dilanda huru hara dan malapetaka. Keputusan sama ada untuk menangguhkan pemilihan ke tahun hadapan atau tidak dijangka akan dibuat dalam mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu, esok. Pilihan Raya Umum ke 12, 8 Mac lepas meletakkan Umno dalam keadaan kelam kabut dengan pelbagai tekanan sehingga Umno bahagian dan individu tertentu mendesak Presidennya, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi. Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menyahut seruan untuk membuat reformasi dalam Umno dan menawarkan diri untuk bertanding menentang Abdullah tahun ini. Bagaimanapun dengan sistem kuota pencalonan yang mensyaratkan calon Presiden hendaklah mendapat 30 peratus pencalonan (atau dari 58 bahagian), menyebabkan laluan Razaleigh dijangka sukar. Bagaimanapun, pelbagai pihak yang mengampu Presiden Umno melemparkan pelbagai kecaman dan kritikan yang menghina pemimpin Umno dari Kelantan itu. Gesaan Umno Cheras Bernama melaporkan Umno Bahagian Cheras menyarankan semua jawatan tertinggi parti itu di semua peringkat, termasuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dipertandingkan. Cadangan itu adalah satu daripada 12 resolusi yang dilulus oleh Umno Bahagian Cheras pada Mesyuarat Khas Empat Peringkat di sini, Selasa malam. Ketua Umno bahagian Cheras Senator Dato' Wira Syed Ali Al-Habshee berkata cadangan yang akan dikemukakan kepada Majlis Tertinggi Umno itu dibuat berikutan kekalahan teruk Barisan Nasional pada pilihan raya umum baru-baru ini, di samping selaras dengan sistem demokrasi yang diamal dalam parti. "Kalau jawatan-jawatan ini tidak dipertandingkan, kita tidak tahu kekuatan Presiden dan Timbalan Presiden di dalam parti. Jika ada pertandingan, kita boleh menilai kekuatan Presiden dan Timbalan Presiden di akar umbi," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat itu. Beliau yakin pertandingan untuk dua jawatan tertinggi itu tidak akan memecah belahkan parti, malah akan mengukuhkan perpaduan dalaman dan meningkatkan maruah mereka yang menang. "Biar rakyat tahu Umno amalkan demokrasi sihat, biar orang bertanding. Pertandingan akan memberi ruang untuk ahli-ahli Umno di akar umbi untuk menterjemahkan kepimpinan sebenar dalam Umno dan kita mahu pemimpin kita betul-betul mendapat sokongan akar umbi," katanya. Mesyuarat itu juga meluluskan supaya sistem kuota bagi pertandingan jawatan parti yang diamalkan kini dimansuhkan dan harus kembali kepada prinsip asal iaitu mereka yang ingin bertanding boleh berbuat demikian jika mendapat dua pencalonan. "Kalau kita ada sistem kuota, kita menidakkan orang yang ingin menawarkan diri untuk bertanding. Jika kita mansuhkan, ramai yang akan bertanding dan ahli-ahli mempunyai pilihan untuk memilih pemimpin yang mereka kehendaki," katanya. Syed Ali berkata resolusi yang dibuat bahagian itu turut mencadangkan supaya satu Perhimpunan Agung Khas diadakan dalam masa terdekat bagi membolehkan kepimpinan Umno mendengar secara jelas dan terbuka kritikan dan saranan anggota parti untuk memantapkan semula organisasi parti. Resolusi lain yang diluluskan ialah meminta seluruh rakyat Malaysia khususnya orang Melayu dan Umno supaya memelihara, mempertahan dan menghormati kedaulatan institusi Kesultanan Raja-raja Melayu seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Negara. Mukhriz kata tidak wajar tunda pemilihan Pemilihan Umno yang dijadualkan pada tahun ini tidak wajar ditunda bagi menghormati suara para anggota Umno untuk memilih siapakah pemimpin yang mereka kehendaki, kata Anggota Parlimen Jerlun Dato' Mukhriz Tun Dr Mahathir. Katanya pemilihan parti adalah sesuatu yang sangat penting dan ia merupakan satu proses demokrasi yang harus dilalui oleh parti. "Saya merayu kepada kepimpinan Umno supaya tidak menunda pemilihan dan ikutlah seperti apa yang telah dikatakan (oleh Presiden parti pada tahun lepas) iaitu pemilihan akan diadakan pada tahun ini", katanya kepada Bernama di sini hari ini. Mukhriz, yang juga anggota Exco Pergerakan Pemuda Umno, itu berkata beliau yakin pertandingan merebut jawatan tidak akan menyebabkan perpecahan dalam parti kerana perwakilan sekarang mampu membuat keputusan yang bijak tanpa emosi. Beliau berkata pemimpin Umno mesti mengikut perlembagaan parti dan semua anggota Umno harus membuat keputusan yang rasional dan bijak. Mukhriz berkata jika terdapat pertandingan di peringkat jawatan Presiden sekalipun, beliau yakin Umno tidak akan berpecah jika pertandingan diadakan secara "gentleman". "Yang paling penting jangan ada rasuah politik kerana itulah yang boleh menyebabkan perpecahan... Saya tidak nampak boleh berlaku sebarang perpecahan jika kita bertanding dalam suasana yang terkawal dan tanpa emosi," kata beliau. Mukhriz berkata semua anggota parti haruslah mengutamakan keharmonian parti kerana semua tindakan mereka akan mendapat perhatian umum. "Untuk kebaikan parti, yang penting kita mesti sedar bahawa semua tindakan kita mendapat perhatian umum dan lebih-lebih lagi jadi tradisi kepimpinan teratas lazimnya Presiden dan Timbalan Presiden adalah juga Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri," kata beliau. Zahid Hamidi mahu pemilihan ditangguhkan Penangguhan pemilihan Umno merupakan suatu keperluan bagi kesemua peringkat ahli dalam Umno, kata anggota Majlis Tertinggi Umno Dato' Seri Ahmad Zahid Hamidi. v Katanya anggota di peringkat akar umbi perlu merapatkan lagi barisan, manakala di peringkat nasional pula penangguhan itu memberi masa untuk pemimpin tertinggi turun ke padang bagi memantau permasalahan supaya muhasabah diri dapat dilakukan bagi memperkukuhkan semula perpaduan dalam parti. "Penangguhan ini diharapkan dapat mewujudkan suasana bertenang selepas tamparan kekalahan di beberapa buah negeri. "Keheningan suasana politik amat perlu agar pemimpin-pemimpin Umno di semua peringkat dapat mengheningkan semula (keadaan) jika terdapat kekeruhan berlaku," katanya. - mr |
Selamat Melayari Ambuyat El-Binangkit yang sarat dengan INFO berkaitan AGAMA termasuk Hujjah Kebenaran Islam, tidak ketinggalan ISU SEMASA dan SENSASI. Inilah sumbangan Ana dalam MENCARI KEREDHAAN ALLAH SWT.
Rabu, Mac 26, 2008
Jika pemilihan dibuat tahun ini Umno tambah huru hara
Jika pemilihan dibuat tahun ini Umno tambah huru hara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI