Selasa, Januari 05, 2010

BLOGGER AMBUYAT EL-BINANGKIT KEMBALI KE RAHMATULLAH


Sesungguhnya pemergianmu tiada pengganti - Namun kami redha dengan ketentuan Allah, kerana kami tahu Allah lebih menyayangimu..

Dipetik dari Blog Abu Nuha on: 2 Januari 2010

Kenangan ketika ziarah eidul fitri lalu.

Dari Allah kita datang, kepada Dia kita kembali.

Ustaz Abidin Omar, 52 tahun, guru di Sekolah Menengah Agama Islamiah Papar kembali ke rahmatullah jam 6 pagi ini di Hospital Papar. Janazah akan dikebumikan di Taman Perkuburan Kg Benoni Papar.

Ust Abidin adalah seorang guru, otai, dan blogger yang menjadi inspirasi saya sebenarnya. Dalam blognya http://ambuyatel-binangkit.blogspot.com/ beliau menulis mengenai dirinya :

“TIADALAH AKU MELAINKAN SEORANG HAMBA ALLAH SWT YANG DAIF. KERANA ALLAH HAMBA BERJUANG DAN MEMPERJUANGKAN AGAMA ISLAM YANG MAHA SUCI INI(BUKAN ISLAM HADHARI.)”

Mengenai blognya, beliau menulis :

Selamat Melayari Ambuyat El-Binangkit yang sarat dengan INFO berkaitan AGAMA termasuk Hujjah Kebenaran Islam, tidak ketinggalan ISU SEMASA dan SENSASI. Inilah sumbangan Ana dalam MENCARI KEREDHAAN ALLAH SWT.

Kemaskini terakhir blog beliau ialah pada 28 Disember lalu dengan memaparkan berita politik Pakatan Rakyat

Ust Abidin @ Abdin bin Umar @ Omar dilahirkan di Kampung Benoni Papar pada 27 Disember 1957. Beliau meninggalkan seorang isteri yang dinikahi pada 1984 dan 7 orang anak.

Ketika menziarahi beliau pada hari raya lalu, saya menulis :

Beliau sarat dengan pengalaman. Berada di Universiti al-Azhar 1982-1987 dalam bidang Usuluddin (Tafsir).

Dalam perkhidmatan awamnya, pernah menjadi pengetua di SMAI Tawau, SMAI Papar, Ketua Nazir Pendidikan JHEAINS, PTA JHEAINS Sandakan dan Pengetua SMAI Beaufort.

Kini beliau kembali dan memilih sebagai guru agama biasa saja atas beberapa alasan kesihatan dan kesibukan tugas.

Beliau juga adalah hakim MTQ Negeri Sabah dan Fertival Kompang, Barzanji dan Marhaban Negeri Sabah sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Jangan lupa, beliau juga adalah pengendali blog terkenal : http://ambuyatel-binangkit.blogspot.com/. Statistik menunjukkan lebih 600 ribu pengunjung sejak november 2007.

Isi kandungan blog beliau bukan setakat berita terkini tetapi juga koleksi bahan-bahan yang boleh menjadi rujukan semua.

Berita lanjut akan menyusul. Saya hendak bergerak menziarahi janazah Allahyarham di Papar. Sama-sama kita menghadiahkan al-Fatihah kepada Allahyarham.

Terima kasih kepada Abu Nuha atas coretan nostalgia berkenaan Allahyarham. Sesungguhnya tiada siapa yang menyangka ketentuan Allah. Sudah tertulis dari azali lagi waktu dan masa yang ditetapkan ruh dicabut dari jasad. Sedang kita yang hidup sihat wal3afiat tika ini, bila sampai waktunya akan pergi jua.. apa yang dapat dibawa hanyalah bekalan amalan semasa hidup dan doa dari anak2 soleh..

Allahummaghfirlahu warhamhu wa3aafihi wa3fu 3anhu.. Al-Fatihah...

Semoga Allahyarham ditempatkan bersama orang-orang yang soleh dan diberikan pakaian yang cantik, makanan yang lazat2, tempat tinggal yang selesa dan segala yang terbaik di sana.. Segala pesanan dan nasihatnya akan selalu berlegar2 ditelinga dan tertanam dihati kami menjadi buah2 amalan yang ranum.. insyaAllah..

InsyaAllah.. demi meneruskan perjuangan Allahyarham blog ini akan tetap jua diteruskan.. Apa yang baik datangnya dari Allah s.w.t dan apa yang buruk datang dari kelemahan diri hamba sendiri.. tunjuk ajar dan nasihat adalah batu bata dan simen untuk hamba menampal dan menambah baik kekurangan.. InsyaAllah. Terima kasih atas sokongan dari pelawat2 dan rakan2 semua :)

Makan Untuk Hidup BUKAN Hidup Untuk Makan

Makanan dan kita


a
young starving Sudanese girl being stalked by a vulture


Assalamualaikum warahmatullah. ..

Negara kita makmur dan kerana kemakmurannya itu, kita mewah segala-galanya. Dalam aspek makan dan minum, jarang-jarang kita merungut kerana tidak cukup, malah yang kerap berlaku, kita makan secara berlebihan dan kadangkala membuang makanan begitu sahaja apabila sudah tidak termakan.

Dr. Yusof al-Qaradhawi menyatakan jika perut itu sarang kepada penyakit, maka melaparkan perut itu adalah raja bagi segala ubat. Keadaan ini tidak bermakna, kita tidak dibolehkan menikmati makanan, tetapi Islam menganjurkan umatnya sentiasa mengawal pengambilan makanan agar keadaan tubuh badan sihat dan segar.

Hal ini selaras dengan firman Allah SWT yang bermaksud, “Oleh itu, makanlah (wahai orang yang beriman) daripada apa yang dikurniakan oleh Allah kepada kamu daripada benda halal lagi baik, dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembah-Nya semata-mata.” (Surah an-Nahl [016], ayat 114)

Makanan sebetulnya penting untuk kesuburan rohani. Ini kerana apabila nafsu makan jasmani tidak dikendalikan, ia menjejaskan rohani daripada mengingati Allah SWT. Sifat malas menghantui kita untuk beribadah. Apabila tubuh sakit akibat salah makan misalnya, jumlah ibadat kita kepada Allah jadi terbatas.

Rohani yang bersih tidak lain tidak bukan, dibentuk oleh makanan yang berkhasiat, agar daya ingatan menjadi cerah dan tajam. Oleh itu, hubungan kesihatan serta makanan amat erat dan saling berkait. Makanlah, tetapi harus berpada-pada.


Menjauhi makanan yang haram

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Setiap jasad yang membesar daripada benda-benda yang haram maka api nerakalah yang layak baginya.” (Riwayat al-Baihaqi dan Abu Nuim)

Harta-harta yang berkat itu adalah harta yang halal dan baik, kerana sesuatu yang diambil dari yang tidak halal dan tidak baik tidak mungkin mampu mendorong seseorang kepada melakukan kebaikan sama ada kepada diri sendiri mahupun orang lain. Kita seharusnya mengambil berat akan apa yang kita suapkan ke mulut kerana setiap daging yang timbul atau dihasilkan dari sesuatu yang haram maka nerakalah tempatnya.

Pengertian halal yang harus difahami daripada hadis di atas adalah mencakupi aspek-aspek berikut:

  1. Halal wujudnya, iaitu apa saja yang tidak dilarang oleh agama Islam, seperti makanan dan minuman yang tidak diharamkan oleh syariat Islam.
  2. Halal cara mengambil atau memperolehinya, iaitu cara mengambil atau cara memperoleh yang tidak dilarang oleh syariat Islam seperti harta yang diperoleh dari pekerjaan yang halal menurut pandangan syariat Islam.
  3. Halal kerana tidak bercampur dengan hak milik orang lain, kerana sudah dikeluarkan zakatnya. Jika sebaliknya (haram) ia berupa bahan makanan dan dimakan oleh seseorang maka pengaruhnya sangat buruk terhadap perkembangan rohani dan jasmani seseorang.


Renung-renungkan.. Semoga perubahan kita hari ini menjadikan kita antara Insan yang beruntung sewaktu di sana nanti.. Aamin