Isnin, November 09, 2009

ANAK LUAR NIKAH MENINGKAT

ANAK LUAR NIKAH MENINGKAT

*Gambar : Sekadar hiasan.
Johor Baharu - Johor mencatat jumlah kelahiran anak luar nikah seramai 2,399 orang bermula Januari sehingga Mei tahun ini, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kepada 15,610 orang sejak 2005.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr. Robia Kosai berkata, berdasarkan jumlah itu, kaum Cina mencatat jumlah kelahiran anak luar nikah tertinggi iaitu 1,397 orang diikuti Melayu seramai 592 orang dan India (410).

Beliau berkata, jumlah kelahiran anak luar nikah di negeri ini pada tahun lalu adalah seramai 3,380 orang yang menyaksikan peningkatan jumlah bagi setiap tahun sejak 2006.
"Berdasarkan statistik Jabatan Pendaftaran Negara, jumlah anak luar nikah di bawah umur 21 tahun sepanjang lima bulan tahun ini adalah seramai 400 orang manakala pada tahun lalu 880 orang. Sementara itu, jumlah permohonan daftar lewat kelahiran pula bermula Januari hingga 25 Jun lalu adalah seramai 732 orang dan jumlah keseluruhan permohonan sejak 2006 adalah seramai 4,302 orang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Md. Othman Yusof (BN- Kukup) mengenai masalah anak luar nikah dan langkah mengatasinya pada persidangan DUN di Kota Iskandar di sini.

Robia berkata, antara langkah yang diambil oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) adalah dengan meningkatkan pelaksanaan program pembangunan remaja berasaskan Modul Permata KASIH.

Beliau berkata, LPPKN juga menyediakan kemudahan setempat pusat remaja iaitu Cafe@TEEN di ibu pejabat di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang menerusi perkhidmatan kaunseling, ceramah perkembangan remaja dan pembimbing rakan sebaya.

Jelasnya, program kembara kaunseling yang disifatkan sebagai 'titik mula' perkhidmatan kaunseling kepada masyarakat turut dilaksanakan melalui program ujian psikometri berkaitan 'gaya bercinta' dan 'kecenderungan kerjaya' sebagai daya tarikan kepada remaja menyertainya.
"Berhubung masalah daftar lewat kelahiran di kalangan anak luar nikah, kerajaan memandang serius perkara itu berikutan ketiadaan sijil kelahiran akan menyebabkan kesukaran pendaftaran persekolahan pada masa akan datang. Justeru, Jabatan Pendaftaran Negara mengambil inisiatif dengan pergi ke kawasan pedalaman untuk membuka kaunter pendaftaran dengan melaksanakan Ops Mydaftar dalam usaha mengatasi masalah ini," katanya.


BERITA TAMBAHAN

KOSMO: Info - Statistik Pendaftaran Kelahiran Anak Luar Nikah (1999-2003)


Written by DHRRA
Wednesday, 04 March 2009 14:21

Stats_KosmoKOSMO November 27, 2008

Statistik
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melaporkan lebih 257,000 sijil kelahiran didaftarkan tanpa catatan nama bapa sejak tahun 2000 hingga pada bulan Julai 2008.

Berdasarkan jumlah itu, secara puratanya, 2,500 kes anak luar nikah direkodkan pada setiap bulan atau 83.9 kes pada setiap hari.


STATISTIK PENDAFTARAN KELAHIRAN ANAK LUAR NIKAH (1999-2003)
*Sebanyak 30,978 dari 70,430 adalah anak orang Islam

Pecahan mengikut negeri

SELANGOR = 12,836 orang
PERAK = 9,788 orang
KUALA LUMPUR = 9,439 orang
JOHOR = 8,920 orang
SABAH = 8,435 orang
NEGERI SEMBILAN = 4,108 orang
PAHANG = 3,677 orang
KEDAH = 3,496 orang
PULAU PINANG = 3,412 orang
MELAKA = 2,707 orang
KELANTAN = 1,730 orang
PERLIS = 691 orang
SARAWAK = 617 orang
TERENGGANU = 574 orang
JUMLAH = 70,430 orang

Last Updated ( Wednesday, 04 March 2009 14:37 )

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

SILA BERI KOMEN ANDA DISINI