Selasa, September 08, 2009

Pakatan berazam tidak bertembung sesama sendiri di Sabah

Pakatan berazam tidak bertembung sesama sendiri di Sabah
Harakahdaily
Mon | Sep 07, 09 | 7:07:17 pm MYT
KOTA KINABALU, 7 Sept: Tiga komponen parti Pakatan Rakyat mencapai kata sepakat di Sabah bagi memastikan mereka mencapai kemenangan dalam pilihan raya akan datang.

Mereka menyedari kesilapan besar mereka dalam pilihan raya lalu iaitu bertembung sesama sendiri dan berazam tidak akan mengulangi kesilapan yang sama dalam pilihan raya akan datang.

Untuk itu, mereka menubuhkan Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat secara rasmi pada jam lebih kurang 5.30 petang bertempat di Lembah Impian Resort.

Turut menyaksikan majlis pelancaran penubuhan tersebut iaitu Ustaz Anuar Ali selaku Exco Dewan Pemuda PAS Pusat, Datuk Kong Hong Ming selaku Timbalan Pengerusi PKR Sabah, Rony Klasen selaku Ketua Biro Komunikasi PKR dan lebih kurang 40 orang penyokong dari parti masing-masing.

Agenda besar penubuhan Sekretariat Pemuda Pakatan ini antaranya untuk mengukuhkan lagi barisan Pakatan menghadapi wajah baru politik tanah air yang lebih mencabar.

Tumpuan akan diberikan kepada penyelarasan program dan pengukuhan sistem yang sedia ada untuk mendepani cabaran terdekat ini iaitu pilihanraya umum yang akan datang.

Sekretariat ini dipengerusikan oleh Abdul Razak Jamil dan dibantu oleh tiga naib pengerusi iaitu daripada PAS, Lahirul Latigu, DAPSY Yang Chan Tsze dan AMK, Jeffry Jamion.

Khairul Yusri daripada PAS dilantik sebagai setiausaha dan Zainudin Hassan sebagai ketua penerangan. Tujuh orang AJK telah dilantik yang dipilih daripada ahli parti komponen.

Semasa memberikan ucapan pada majlis tersebut, Razak Jamil mengingatkan semula kepada ahli-ahli Pakatan Rakyat yang hadir agar menilai semula prestasi Pakatan di Sabah pada PRU ke 12 yang lalu.

Faktor utama kekalahan mereka ditangan Barisan Nasional kerana tidak adanya permuafakatan di kalangan parti mereka sendiri dalam menentukan siapa calon yang sepatutnya bertanding.

"Kita mesti belajar daripada pengalaman lepas dimana calon-calon parti kita bertembung sesama sendiri untuk merebut kerusi DUN dan Parlimen yang akhirnya merugikan diri sendiri," katanya.

Sebaliknya kata beliau, jika undi calon-calon Pakatan yang bertembung tersebut dapat disatukan, sudah tentu Barisan Nasional dapat ditewaskan dan beberapa kerusi DUN dan Parlimen dapat dimenangi.

Turut berucap Ketua AMK, Syamsul Iskandar Mohd Akin. Beliau mengulangi beberapa perkara yang beliau sebutkan sebelum ini iaitu mengutamakan muafakat diantara sesama parti komponen.

Katanya, di peringkat pemuda pusat mereka tidak lama lagi akan melancarkan Muafakat Pemuda Pakatan untuk menghadapi senario politik negara yang semakin mencabar ini.

Selain itu, beliau mengingatkan sekretariat pemuda pakatan agar segera mengambil langkah bijak untuk menarik sokongan pengundi muda menyebelahi pakatan.

Pada sesi sebelumnya iaitu pada sebelah pagi, sekretariat Pemuda Pakatan turun ke Tamu Gaya Kota Kinabalu mengedar risalah berkenaan H1N1 dan isu-isu semasa politik tanah air.

Lebih kurang 300 keping risalah diedar di Tamu Gaya dan berakhir pada jam lebih kurang 12.30 tengah hari. _

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

SILA BERI KOMEN ANDA DISINI