Ahad, September 20, 2009

Obama harap kerjasama Rusia hadapi Iran

Obama harap kerjasama Rusia hadapi Iran
Haris Zalkapli
Sat | Sep 19, 09 | 3:50:08 pm MYT
ANALISIS

Isu nuklear Iran menjadi tumpuan ekoran tindakan presiden Amerika Syarikat, Barack Obama menghentikan rancangan pembinaan sistem pertahanan peluru berpandu di Eropah Timur yang menimbulkan persoalan tentang tawar-menawar yang dilihat dilakukan dengan Moskow.

Hal ini demikian kerana perkembangan ini berlaku ketika rundingan dengan Iran semakin hampir, dengan tanda-tanda Washington sedia berunding secara terus dengan Iran dan pada masa sama mengukuhkan kerjasama pertahanan dengan negara-negara Arab di Asia Barat.

Pada masa sama Turki - sekutu penting AS yang terlibat dalam politik Asia Barat dan Eropah - memainkan peranan diplomasinya, Obama dilihat melakukan tindakan berhubung pertahanan peluru berpandu untuk mendapatkan balasan Rusia.

Sekiranya Washington mahu berunding dengan Iran, ia memerlukan sokongan daripada kuasa-kuasa berkaitan yang penting untuk mencapai agendanya, dan potensi kerjasama Moskow akan menjadi bargaining chip yang penting untuk mencapai matlamatnya.

Rusia � bersama China sebagai ahli tetap Majlis Keselamatan PBB � menjadi penghalang kepada agenda AS untuk bertindak terhadap Iran melalui sekatan lebih ketat.

Hal ini disebabkan Iran berkongsi kepentingan dengan Rusia dan China, terutama melibatkan tenaga dan juga usaha untuk menyekat pengaruh AS di Asia Tengah dan Asia Barat.

Disebabkan perkongsian kepentingan itu, AS perlu menawarkan ganjaran yang lebih kepada Moskow, seperti yang dilaksanakan berhubung sistem pertahanan peluru berpandu di Eropah Timur itu.

Walau bagaimanapun, apa yang penting bagi Rusia bukan hanya melibatkan sistem pertahanan di Eropah itu, tetapi juga geopolitik Asia Tengah termasuk Afghanistan.

Kedua-dua Rusia dan China masih boleh memberikan perlindungan kepada Iran selagi kos memberi perlindungan itu tidak melebihi manfaat yang diperolehi.

Perkembangan ini juga menunjukkan usaha memulihkan hubungan dengan Rusia yang dimulakan di bawah pentadbiran Obama bukan tidak mendatangkan mendatangkan sebarang hasil, sekiranya Moskow sedia memberi kerjasama.

Walau bagaimanapun, isu lain seperti kebolehlaksanaan projek mahal itu juga mungkin menjadi faktor penting rancangan itu dihentikan, kerana pertahanan peluru berpandu terutama sejak pentadbiran George W Bush telah tidak menunjukkan tanda-tanda sebagai teknologi yang boleh diharapkan.

Pihak yang kuat mengkritik tindakan Obama pula rata-rata daripada kelompok konservatif, termasuk kumpulan pendesak yang didanai syarikat-syarikat senjata penyokong sistem senjata itu yang juga penyokong kuat Parti Republikan.

Tindakan Obama itu mungkin berjaya mendapatkan kerjasama Rusia, tetapi potensi kerjasama Rusia dengan Barat ini akan mencetus pula reaksi Iran dan China yang berasa terpinggir, lebih-lebih lagi China yang merupakan "sekutu strategik" Rusia dalam Pertubuhan Kerjasama Shanghai, SCO.

Iran kini terpaksa mencari kelebihan lain untuk digunakan menghadapi gerakan terbaharu daripada AS ini, seperti sumber tenaga dan politik Laut Kaspia dan rantau Asia Tengah.

China, kuasa yang mempunyai kelebihan dari segi ekonomi secara langsung dengan AS setakat ini belum lagi menunjukkan respons terhadap tindakan Washington ini.

Tindakan Obama itu kini diperhatikan sama ada mendapat respons sewajarnya daripada Moskow atau sebaliknya.

Perkembangan ini menunjukkan, dalam keadaan yang sukar dan keupayaan yang terbatas, Rusia masih lagi kuasa penting dunia yang kerjasamanya penting untuk diperolehi. _

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

SILA BERI KOMEN ANDA DISINI