Selasa, Ogos 25, 2009

MB serah surat mohon Radzhi digugur kepada Sultan Kedah?

MB serah surat mohon Radzhi digugur kepada Sultan Kedah?
Wartawan Harakahdaily
Mon | Aug 24, 09 | 5:44:15 pm MYT
ALOR SETAR, 24 Ogos: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak telah menyerahkan surat kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah bagi memohon baginda menggugurkan Mohd Radzhi Salleh dari Exco kerajaan negeri Kedah.

Surat itu telah diserahkannya kepada pejabat Sultan Kedah petang ini.

Di BUKIT MERTAJAM, Pengarah Pilihan raya Pemuda PAS Pusat, Mohd Firdaus Jaafar menyelar tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri(Adun) Lunas, Mohd Radzhi Salleh yang mengumumkan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Kuala Lumpur dan bukannya di Lunas atau di negeri Kedah.

Menurut beliau lagi tindakan Radzhi itu bukan saja menimbulkan keraguan kepada masyarakat kerana membuat pengumuman bukan di negeri Kedah, malah ia mirip sepertimana yang dilakukan oleh dua bekas Adun Negeri Perak yang mengumumkan keluar parti di Kuala Lumpur bersama-sama dengan pemimpin Barisan Nasional(BN)dan Umno setelah menghilangkan diri.

"Kita tidak dapat nafikan bahawa ini adalah tindakan terdesak BN dan Umno menjelangnya pilihan raya kecil Dun Permatang Pasir yang begitu hampir. Mereka ini juga sudah kehilangan sokongan. Oleh kerana itu bagi mengalihkan pandangan pengundi dan penduduk di sini supaya melihat bahawa terdapat perpecahan dalam Pakatan Rakyat adalah suatu perkara yang salah.

"Tiada perpecahan dalam Pakatan Rakyat. Kita tetap teguh dan sepakat. Kita juga tidak nafikan bahawa akan muncul lagi cerita-cerita baru yang akan direka oleh BN dan Umno dalam tempoh terdekat ini bagi meraih sokongan daripada pengundi di Permatang Pasir. Namun begitu saya merayu kepada pengundi dan penduduk di Dun Permatang Pasir ini supaya tidak terpengaruh dengan dakyah jahat BN dan Umno untuk mengelirukan para pengundi."

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jerai berkata, Radzhi sudah sepatutnya melepaskan jawatan exco yang dipegangnya dalam kerajaan negeri Kedah dengan segera sekiranya beliau sudah tidak lagi menganggotai PKR yang merupakan komponen dalam Pakatan Rakyat.

Firdaus berkata demikian semasa menyampaikan ceramah beliau di Permatang Janggus. Turut hadir ialah Ketua Penerangan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiat, Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Yusni Mat Piah, Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Rosidi Hussain dan Sasterawan Negara, Azizi Abdullah.

Sementara itu di Alor Setar, tindakan Radzhi tidak menjadi kejutan di kalangan pemimpin PKR Kedah sendiri.

"Bagi saya ianya tak mengejutkan, memandangkan sebab-musabab yg membolehkan teori akan berlaku lompatan Adun Lunas ini telah ada tanda-tanda sebelum ini.

"Maksud saya, beliau telah membina perangkap sendiri, melalui kes tuntutan bulanan yang tidak mengikut prinsip jimat-cermat yang diamalkan oleh Pakatan Rakyat Kedah, disamping masalah peribadi berhubung perkahwinan yg gagal diuruskan mengikut lunas keadilan yg diterima masyarakat," kata Senator Ir. Zamri Yusuf Pengerusi Biro Latihan Keadilan Kedah yang juga Mantan Pengerusi Perhubungan PKR Kedah.

Bagi Zamri, perangkap ini menyebabkan Radzhi tertekan dengan siasatan yang dijalankan oleh SPRM, serta kemungkinan tindakan undang-undang berkait hal tuntutan dan masalah perkahwinan. Lebih-lebih lagi SPRM semakin digeruni selepas siasatan yg membawa kepada kematian Saudara Teoh Beng Hock.

Menurut Zamri, Radzhi seharusnya belajar dari pengalaman dua rakan beliau, bekas Exco Perak, Jamaludin Md Radzi dan Osman Jailu, yang terperangkap melalui siasatan berkaitan rasuah, akhirnya mengalah dengan kelemahan sendiri.

"Kenyataan beliau tanpa segan-silu menyatakan sokongan kepada Najib adalah intipati sebenar kenapa beliau memilih untuk meninggalkan perjuangan keadilan, yang menjulang beliau dari orang biasa sehingga menjadi seorang menteri di peringkat negeri," katanya. _

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

SILA BERI KOMEN ANDA DISINI