Sabtu, Jun 20, 2009

Pelatih bakar pusat serenti, cabar polis

Pelatih bakar pusat serenti, cabar polis


KEADAAN sebuah blok pentadbiran di Pusat Serenti Kampung Selamat di Tasek Gelugor yang terbakar malam tadi.


TASIK GELUGOR - "Saya melihat dua pelatih pusat serenti yang menutup muka ala ninja berlari dengan membawa tong minyak manakala beberapa pelatih lain dengan kayu menaiki traktor mengelilingi tiga blok pentadbiran yang sedang terbakar."

Demikian cerita seorang penduduk, Ali Osman, 58, yang menyaksikan kejadian rusuhan yang tercetus di Pusat Serenti Kampung Selamat di Tasek Gelugor di sini semalam.

Ali yang tinggal kira-kira 500 meter dari pusat serenti tersebut berkata, rusuhan itu diketahui pada pukul 6 petang selepas dimaklumkan oleh seorang anaknya.

"Keadaan di pusat serenti tersebut hura-hara dengan sorakan pelatih yang merusuh dan mereka kelihatan ganas," kata beliau semasa ditemui tidak jauh dari pusat serenti itu malam tadi.


ANGGOTA FRU bersiap sedia untuk mengawal rusuhan yang tercetus disebabkan perasaan tidak puas hati di kalangan pelatih.


Kata beliau, tindakan membabitkan hampir semua pelatih di situ menyebabkan pegawai di pusat serenti itu berundur keluar.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Amir berkata, pelatih di pusat serenti itu jelas menguasai pusat serenti itu dan mereka langsung tidak menghiraukan arahan polis.

Malah kata Amir, ada beberapa kumpulan pelatih itu mencabar anggota polis yang cuba menghampiri mereka.

Kata beliau, dalam keadaan tegang itu beberapa buah kenderaan pegawai di pusat itu juga dibakar.


ANGGOTA FRU masuk ke dalam Pusat Serenti Kampung Selamat di Tasek Gelugor untuk mengawal rusuhan yang tercetus malam tadi.


Bagaimanapun, Amir memberitahu, pada pukul 8 malam, anggota polis, bomba dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) masuk ke dalam pusat serenti itu menyebabkan pelatih-pelatih tersebut berundur ke belakang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

SILA BERI KOMEN ANDA DISINI