Khamis, Jun 11, 2009

Intai rakan mandi

Sumber

Oleh Sarah Zulkifli dan Ahmad Tajol Ansar Ibrahim
am@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Seorang lelaki ‘gila seks’ bukan hanya berbangga selepas berjaya merakam aksi seorang gadis juga rakannya sedang mandi, malah bertindak ganas apabila cuba memecahkan pintu bilik air terbabit selepas tindakan biadabnya disedari mangsa.

Sebelum itu, lelaki berusia 30-an dikatakan cuba ‘mengumpan’ mangsa dengan berjanji memadamkan video yang dirakam menggunakan telefon bimbitnya jika gadis itu membuka pintu bilik air berkenaan.

Cubaan lelaki itu memujuk mangsa bagaimanapun, gagal sebelum dia kemudian cuba masuk ke dalam bilik air berkenaan dengan memecahkan pintu.

Mangsa yang ketakutan dikatakan terus menghubungi rakan lelaki lain mengadu hal berkenaan menyebabkan lelaki terbabit yang terdengar perbualan itu melarikan diri.

Menurut sumber, dalam kejadian jam 2 petang kelmarin, mangsa berusia 21 tahun juga pelajar institusi pengajian tinggi menyedari perkara itu apabila ternampak telefon bimbit terbabit di ruang bawah pintu bilik air di rumah rakannya di Selayang di sini, kelmarin.

“Sebaik menyedari dirinya dirakam menggunakan telefon bimbit, mangsa dikatakan menendang pintu bilik air dan menjerit kuat,” katanya di sini, semalam.

Lelaki yang sudah ‘tertangkap’ itu melarikan diri dan pulang semula ke rumah berkenaan kemudian.

Sumber itu berkata, khuatir dengan kelakuan buruk rakannya itu, gadis berkenaan dikatakan tidak berani keluar daripada bilik air terbabit sehingga rakannya lain pulang ke rumah berkenaan.

“Namun, gadis itu terkejut apabila lelaki itu datang semula ke bilik air berkenaan sebelum mengugutnya supaya membuka pintu jika mahu rakaman video dipadamkan.

“Apabila mangsa enggan, lelaki itu dikatakan ‘berang’ serta cuba memecahkan pintu berkenaan,” katanya.

Katanya, mangsa yang panik bernasib baik kerana membawa telefon bimbitnya ke dalam bilik air sebelum menghubungi seorang rakan bagi mendapatkan pertolongan.

“Lelaki itu yang terdengar perbualan mangsa dan rakannya dikatakan ‘kecut perut’ sebelum keluar daripada rumah terbabit dan melarikan diri sekali lagi,” katanya.

Khuatir rakaman video itu tersebar, mangsa kemudian membuat laporan polis.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

SILA BERI KOMEN ANDA DISINI