Selasa, Mei 19, 2009

BN Hormati Proses Mahkamah Berhubung Kedudukan Kerajaan Di Perak

8 Mei, 2009 22:13 PM

KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) akan menghormati proses mahkamah dalam menentukan keputusan muktamad berkaitan kedudukan kerajaan di Perak, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Isu Perak ini dalam proses mahkamah. Oleh itu, kita mesti menghormati proses mahkamah malah pihak pembangkang pun telah bawa kes Perak melalui proses di mahkamah.

"Jadi kita akan menghormati proses mahkamah untuk menentukan keputusan muktamad berkenaan hal kedudukan kerajaan di Perak ini," kata Perdana Menteri dan Pengerusi BN selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Menara Dato' Onn di sini hari ini.

Ditanya sama ada BN sudah mengadakan perbincangan dengan pembangkang bagi menyelesaikan krisis di Perak, Najib berkata setakat ini belum ada sebarang perbincangan dibuat.

"Kalau kita nak berunding dengan pembangkang pun, kita mesti tentukan bahawasanya kedudukan di sisi undang-undang itu mesti disahkan dulu oleh mahkamah barulah kita boleh berunding dengan pembangkang.

"Jadi masing-masing mesti menghormati proses undang-undang dan tidak melakukan apa-apa yang boleh menimbulkan kekacauan (dan) yang boleh menjejaskan ketenteraman awam," katanya.

Ditanya sama ada BN bercadang mengadakan persidangan tergempar Dewan Undangan Negeri Perak bagi meluluskan usul undi tidak percaya terhadap Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, Najib berkata: "Kita serahkan perkara itu kepada kerajaan negeri. Mereka harus membuat keputusan mengenai perkara ini. Mereka juga perlu berbincang dengan Tuanku Sultan... memohon perkenan dan sebagainya."

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

SILA BERI KOMEN ANDA DISINI