Selasa, April 14, 2009

Husam lawat mangsa rusuhan bola sepak

Husam lawat mangsa rusuhan bola sepak
Zuharman MN
Tue | Apr 14, 09 | 8:38:38 am MYT

KOTA BHARU, 14 April (Hrkh) - Mangsa kelongsong peluru gas pemedih mata menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II mendapat perhatian kerajaan negeri.

Exco Kerajaan Negeri, Dato' Husam Musa, meluahkan rasa sedih serta kecewa terhadap insiden rusuhan berlaku di Stadium Sultan Mohamad ke IV baru-baru ini.

"Sepatutnya keadaan-keadaan sebegini tidak berlaku. Orang yang tidak terlibat terpaksa menerima kecederaan. Contohnya yang berlaku terhadap adik ini.

"Saya berharap keadaan serupa tidak akan berulang untuk masa-masa akan datang," katanya sewaktu melawat mangsa di wad Melati HRPZ II.

Beliau berkata, pihak berkenaan mesti bertanggungjawab di atas tindakan yang menyebabkan mangsa terpaksa menanggung kecacatan kekal.

"Sekiranya benar sebagaimana dilaporkan, pihak berkenaan wajib bertanggungjawab,"katanya.

Insiden terbabit berlaku selepas tamat perlawanan bola sepak Piala FA antara Kelantan dan Negeri Sembilan di Stadium Sultan Mohamad ke IV.

Mangsa, Mohd Huzaifah Mohd Nor, hilang penghilatan mata kanan akibat terkena objek yang dipercayai diguna anggota polis FRU bagi melerai rusuhan terbabit.

Ketika kejadian Huzaifah sedang mengemas barangan jualan di gerai milik sepupunya.

"Masa tu saya sedang mengemas barang. Ia berlaku pantas," jelasnya berasal dari kampung Kedai Lalat, juga penuntut Institut Latihan Perindustrian (ILP) Pengkalan Chepa.

Sementara itu, polis Kelantan akan membuat siasatan secara menyeluruh mengenai dakwaan yang berlaku.

Ketua Polis Kelantan, Dato' Abd Rahim Hanafi, mengesahkan menerima laporan kejadian dan pihaknya telah mengambil keterangan mangsa di hospital. - azm/mks. _

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

SILA BERI KOMEN ANDA DISINI