Rabu, Mac 25, 2009

Sedikit Nasihat Mengenai Cara-cara Mendidik Kaum Wanita

Sedikit Nasihat Mengenai Cara-cara Mendidik Kaum Wanita
Dilulus terbit pada Wednesday, March 25 @ 06:21:50 MYT oleh TokPenghulu

Bahan Umum Oleh PakaLOLO

Jangankan lelaki biasa, Nabi pun terasa sunyi tanpa wanita. Tanpa mereka, hati, fikiran dan perasaan lelaki akan resah. Masih mencari walaupun sudah ada segala-galanya. Apa lagi yang tidak ada di syurga, namun Nabi Adam a.s tetap rindukan Siti Hawa. Kepada wanitalah lelaki memanggil ibu, isteri atau puteri. Dijadikan mereka dari tulang rusuk yang bengkok untuk diluruskan oleh lelaki, tetapi kalau lelaki sendiri yang tak lurus, tak mungkin mampu nak meluruskan mereka. Tak logik kayu yang bengkok menghasilkan bayang-bayang yang lurus.



Luruskanlah wanita dengan cara yang ditunjuk Allah, kerana mereka dicipta sebegitu rupa oleh Allah. Didiklah mereka dengan panduan dariNya. JANGAN CUBA JINAKKAN MEREKA DENGAN HARTA, NANTI MEREKA SEMAKIN LIAR. JANGAN HIBURKAN MEREKA DENGAN KECANTIKAN, NANTI MEREKA SEMAKIN MENDERITA. Yang sementara itu tidak akan menyelesaikan masalah. Kenalkan mereka kepada Allah, zat yang kekal, disitulah suisnya.

AKAL SETIPIS RAMBUTNYA, TEBALKAN DENGAN ILMU. HATI SEPARUH KACA, KUATKAN DENGAN IMAN. PERASAAN SELEMBUT SUTERA, HIASILAH DENGAN AKHLAK. Suburkanlah kerana dari situlah nanti mereka akan nampak nilaian dan keadilan Tuhan. Akan terhibur dan bahagialah hati mereka, walaupun tidak menjadi ratu cantik dunia, presiden ataupun perdana menteri negara atau women gladiator. Bisikkan ke telinga mereka bahawa kelembutan bukan suatu kelemahan. Itu bukan diskriminasi Tuhan. Sebaliknya di situlah kasih sayang Tuhan. Kerana rahim wanita yang lembut itulah yang mengandungkan lelaki-lelaki waja - negarawan, karyawan, jutawan dan 'wan-wan' yang lain. Tidak akan lahir superman tanpa superwoman. Wanita yang lupa hakikat kejadiannya, pasti tidak terhibur dan tidak menghiburkan. Tanpa ilmu, iman dan akhlak, mereka bukan sahaja tidak boleh diluruskan, bahkan mereka pula membengkokkannya. LEBIH RAMAI LELAKI YANG DIROSAKKAN OLEH PEREMPUAN DARIPADA PEREMPUAN YANG DIROSAKKAN OLEH LELAKI. SEBODOH-BODOH PEREMPUAN PUN BOLEH MENUNDUKKAN SEPANDAI-PANDAI LELAKI.

Itulah akibatnya apabila wanita tidak kenal tuhan. Mereka tidak akan kenal diri mereka sendiri, apalagi mengenal lelaki. Kini bukan saja ramai boss telah kehilangan secretary, bahkan anak pun akan kehilangan ibu, suami kehilangan isteri dan bapa akan kehilangan puteri. Bila wanita derhaka, dunia lelaki akan huru-hara. Bila tulang rusuk patah, rosaklah jantung, hati dan limpa. Para lelaki pula jangan hanya mengharapkan ketaatan tetapi binalah kepimpinan. Pastikan sebelum memimpin wanita menuju Allah, pimpinlah diri sendiri dahulu kepadaNya. Jinakkan diri dengan Allah, nescaya akan jinaklah segala-galanya di bawah kepimpinan kita.

JANGAN MENGHARAPKAN ISTERI SEPERTI SAYYIDATINA FATIMAH RA, KALAU PERIBADI BELUM LAGI SEPERTI SAYYIDINA ALI RA...

ANTARA RAJAK (HARAPAN) DAN KHAUF (KEBIMBANGAN)

Konsep Rajak dikaitkan dengan harapan manusia akan kurniaan Allah sama ada di dunia mahupun akhirat. Sangkaan baik bahawa Allah akan memasukkan mereka ke dalam syurga kerana Allah bersifat dengan Maha Pengasih dan Maha Pengampun.

Konsep Khauf pula dikaitkan dengan perasaan takut dan bimbang akan azab Allah dan malapetaka yang diturunkan sama ada di dunia lebih-lebih lagi di akhirat.

Manusia tidak dapat dipisahkan dari 2 keadaan ini sama ada rajak atau khauf. Ada yang terlalu berharap (sangka baik) terhadap kurnia Allah sehingga mereka lupa untuk beribadat kepada Allah. Mereka lalai dan relaks dari tanggungjawab sebagai hamba Allah namun masih menaruh harapan tinggi Allah akan mengampunkannya. Mereka lupa bahawa azab Allah amat pedih.

Satu golongan lagi terlalu takut terhadap azab Allah sehingga sebahagian besar masanya beribadat tanpa ada ruang untuk hal-hal selain dari urusan akhirat. Mereka lupa untuk menguruskan keduniaan mereka.

Kedua-dua golongan ini extreme sama ada ke arah keduniaan dan keakhiratan mutlak. Golongan pertama condong ke arah dunia dan lupakan akhirat sementara kedua condong ke akhirat dan lupakan dunia.

Dalam memperkatakan kedua-dua keadaan ini, kedudukan kita hendaklah antara khauf dan rajak; tidak terlalu khauf dan tidak terlalu rajak. Adalah lebih selamat dalam menjalani hidup di dunia ini, kita lebihkan perasaan khauf - takut kepada Allah. Dengan ada perasaan ini kita sentiasa takut melakukan maksiat dan rajin membuat ibadat. Hidup kita akan lebih selamat. Meskipun begitu jangan terlalu takut sehingga terabai tanggungjawab di dunia.

Bila masanya kita perlukan perasaan rajak (harapan)? Jika khauf semasa menjalani hidup dunia, rajak pula kita gunakan semasa di ambang kematian. Di saat-saat menghadapi mati, kita hendaklah penuhkan dengan harapan 100% supaya Allah mengampuni kita. Kita menyangka baik Allah akan memasukkan kita ke dalam syurga. Ketika inilah kita yakinkan kepada diri kita Allah Maha Pengampun, Maha Pengasih, Maha Penyayang dan Maha Lemahlembut. Allah menurut apa yang kita sangkakan. Jika kita sangka baik terhadap Allah, Allah akan mengikut menurut sangkaan kita.

Menyorot kehidupan sekarang, seolah-olah manusia sudah hilang perasaan khauf. Kebanyakannya lalai dan leka dari menunaikan tanggungjawab. Namun pada masa yang sama mengharapkan keampunan Allah. Harapan begini hanya angan-angan kosong tak ubah seperti angan-angan Mat Jenin.

Oleh itu sama-samalah nasihat-menasihati antara satu sama lain supaya kita tidak terdorong kepada perilaku yang terlalu rajak. Sebaliknya tanamkan perasaan khauf dalam diri kita supaya di akhir nafas kita nanti Allah permudahkan untuk kita menaruh perasaan rajak. Semoga kita semua akan selamat di satu alam yang kekal dan abadi di dalam syurga yang penuh kemanisan dan kenikmatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

SILA BERI KOMEN ANDA DISINI