Isnin, Mac 09, 2009

CIRI-CIRI MUNAFIQ

CIRI-CIRI MUNAFIQ
Oleh: mag

"Khabarkan kepada orang-orang yang munafik bahawa mereka akan mendapat seksaan yang pedih." (An-Nisaa': 138)

"Dan sungguh Allah telah menurunkan kepada kamu di dalam Al-Quran bahawa apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diperolok-olokkan (oleh orang-orang kafir), maka janganlah kamu duduk berserta mereka, sehingga mereka memasuki pembicaraan yang lain. Kerana sesungguhnya (kalau kamu berbuat demikian), tentulah kamu serupa dengan mereka. Sesungguhnya Allah akan mengumpulkan semua orang-orang munafik dan orang-orang kafir di dalam Jahannam." (An-Nisaa': 140)

Dalam hal ini amaran Allah Taala amat jelas dan begitu tegas. Allah s.w.t. telah menjanjikan seksaan yang amat pedih sehingga mereka yang munafik ini akan ditempatkan dalam hina-dina. Mereka akan disumbat di dalam neraka yang paling dalam iaitu Jahannam bersama-sama orang-orang kafir.

"Sesungguhnya orang-orang munafik itu (ditempatkan) pada tingkatan yang paling bawah dari neraka. Dan kamu sekali-kali tidak akan mendapat seorang penolong pun bagi mereka." (An-Nisaa': 142)


Kita mesti memerhatikan diri sendiri dengan mengelak daripada terjerumus ke kancah golongan orang-orang munafik.

Golongan orang-orang munafik ini dapat dikenali melalui ciri-ciri berikut:

"Sesungguhnya orang-orang munafik itu menipu Allah, dan Allah akan membalas tipuan mereka. Dan apabila mereka berdiri untuk solat mereka berdiri dengan malas. Mereka bermaksud riya' (dengan solatdan ibadah lainnya) di hadapan manusia. Dan tidaklah mereka menyebut Allah kecuali sedikit sekali." (An-Nisaa':142)

1. Dusta
"Pada satu hari Rasulullah s.a.w. pernah bersabda antara maksudnya, "Celaka baginya, celaka baginya, celaka baginya, iaitu seseorang yang berdusta agar orang-orang bertaqwa." (H.R. Imam Ahmad Musnad dengan sanad Jayid)

Di dalam kitab Shahihain (Sahih Bukhari dan Muslim), Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tanda orang munafik ada tiga, salah satunya adalah jika berbicara dia berdusta."

"Apabila orang-orang munafik datang kepadamu, mereka berkata: "Kami mengakui, bahawa sesungguhnya kamu benar-benar Rasul Allah." Dan Allah mengetahui bahawa sesungguhnya orang-orang munafik itu benar-benar orang pendusta." (Al-Munafiquun: 1)

2. Khianat
"Apabila kamu tiada memperhatikan orang-orang munafik yang berkata kepada saudara-saudara mereka yang kafir di antara ahli Kitab: "Sesungguhnya jika kamu diusir nescaya kami pun akan keluar bersama kamu; dan kami selama-lamanya tidak akan patuh kepada sesiapa pun untuk (menyusahkan) kamu, dan jika kamu diperangi pasti kami akan membantu kamu." Dan Allah menyaksikan bahawa sesungguhnya mereka benar-benar pendusta. Sesungguhnya jika mereka diusir, orang-orang munafik itu tiada akan keluar bersama mereka, dan sesungguhnya jika mereka diperangi; nescaya mereka tiada akan menolongnya: sesungguhnya jika mereka menolongnya nescaya mereka akan berpaling lari ke belakang, kemudian mereka tiada akan mendapat pertolongan." (Al-Hasyr: 11-12)

Sabda Rasulullah s.a.w., "Dan apabila berjanji, dia khianat. Barangsiapa memberikan janji kepada seseorang atau kepada isterinya, anaknya, sahabatnya atau kepada seseorang dengan mudah, kemudian dia mengkhianati janji tersebut tanpa ada sebab uzur syar'ie maka telah hinggap pada dirinya salah satu tanda kemunafikan."

3. Berlebih-lebihan dalam pertikaian
Rasulullah s.a.w. bersabda, "Dan apabila bertengkar (bertikai), dia melampau."

Yang dicari bukan kebenaran tetapi kemenangan. Dalam bertikai, aib dicungkil untuk memberi malu dan menjatuhkan air muka, bukan mencari fakta dan kebenaran. Dan bila lawannya mengaku kesilapan, maka dibantainya semau-maunya.

4. Ingkar janji
Sabda Rasulullah s.a.w., "Tanda orang munafik ada 3; jika berbicara dia dusta, jika berjanji dia ingkar, dan jika dipercayai (diberi amanah) dia khianat." (H.R. Bukhari dan Muslim)

"Mereka (orang-orang munafik itu) bersumpah dengan (nama) Allah, bahawa mereka tidak mengatakan (sesuatu yang menyakitimu). Sesungguhnya mereka telah mengucapkan perkataan kekafiran, dan telah menjadi kafir sesudah Islam, dan mengingini apa yang mereka tidak dapat mencapainya; dan mereka tidak mencela (Allah dan RasulNya), kecuali kerana Allah dan RasulNya telah melimpahkan kurniaNya kepada mereka. Maka jika mereka bertaubat, itu adalah lebih baik bagi mereka, dan jika mereka berpaling, nescaya Allah akan mengazab mereka dengan azab yang pedih di dunia dan di akhirat; dan mereka sekali-kali tidak mempunyai pelindung dan tidak (pula) penolong di muka bumi." (At-Taubah: 74)

Dipetik dari:Forum TKO

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

SILA BERI KOMEN ANDA DISINI