Isnin, Januari 12, 2009

Solat Hajat Hancur Israel , Hidup P36! di Kota Kinabalu Meriah

Solat Hajat Hancur Israel, Hidup P36! di Kota Kinabalu Meriah
Dilulus terbit pada Monday, January 12 @ 17:38:36 MYT oleh TokBatin

E-mel Pembaca Oleh nurilhakim

Puluhan umat Islam menghadiri Program Solat Hajat Perdana, “Hancur Palestin, Hidup P36” di dua lokasi berbeza di Kota Kinabalu baru-baru ini. Program pertama diadakan di Surau Austral, Putatan pada 9 Januari, sementara program kedua di Surau Flat Persekutuan, Likas pada 10 Januari. Program Solat Hajat tersebut, yang dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS), dan mensasarkan penduduk setempat dan masyarakat awam, dimulakan dengan Solat Maghrib, Ceramah Perdana olah bekas Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kota Kinabalu, Solat Isya dan Solat Hajat, Pelancaran Tabung Palestin dan edaran risalah am tentang kempen boikot produk Israel, sejarah pencerobohan bumi Palestin dan sebagainya.


Antara intipati ceramah menyeru supaya umat Islam kembali menghayati ilmu-ilmu Islam dan mengamalkannya dengan tasawwur Islam yang jelas. “Umat Islam hari ini tidak perlu memandang jauh untuk melakukan perubahan. Bimbang dengan apa yang berlaku di Palestin adalah suatu kewajipan, tetapi kebimbangan yang sama harus dilahirkan terhadap apa yang berlaku di rumah sendiri, kepada masyarakat sendiri dan kepada Malaysia ini sendiri. Mudahnya, perubahan dan anjakan total terhadap umat Islam secara keseluruhan, bermula dengan diri sendiri.”

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah, Ustaz Hafiz Ubaidah yang turut berada di lokasi Program Solat Hajat, ketika ditemui berkata “Kita berbangga walaupun dengan kehadiran yang tidak mencecah ribuan orang, mampu untuk membangkitkan kesedaran kepada masyarakat tentang apa yang berlaku kepada umat Islam sejagat. Untuk mendapat kutipan sumbangan hampir mencecah RM500, di dalam suatu program yang dianjurkan di luar ‘kawasan penduduk berkepadatan tinggi’ di Sabah, adalah sesuatu yang memberangsangkan. Jelas sekali program-program ceramah dan penerangan yang dianjurkan tanpa jemu oleh PAS dan Pakatan Rakyat meninggalkan kesan.”

DPPNS akan terus menjalankan program-program ‘turun padang’ bagi memberi penerangan kepada masyarakat Islam di sini berhubung apa yang sedang dialami oleh saudara-saudara Islam di Palestin khususnya, dan umat dunia amnya. Kepada individu yang masih berminat menghulurkan sumbangan, bolehlah menghubungi sekretariat DPPNS di 088389515 untuk maklumat lanjut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

SILA BERI KOMEN ANDA DISINI