Ketagihan judi, antara langkah dan penyelesaian
Ali Bukhari Amir
Tue | Jan 13, 09 | 12:02:44 am MYT
Pada suatu hari, saya mendapat kiriman surat daripada seseorang. Agak menarik juga isinya.. Berikut adalah luahan hati seorang lelaki tua di bumi merdeka..
CABARAN HIDUP
Saya meneruskan perkara cabaran saya tempoh hari melalui Harakah Daily. Kebisuan yang melanda semua yang dicabar agak menghairankan. Sungguh sedih dibuatnya. Parlimen adalah satu elemen penting dalam pentadbiran sesebuah negara.
Tanggungjawab dan amanahnya sungguh besar. Seperti jantung janakuasa negara. Seluruh dunia menerima hakikat bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam. Malaysia adalah satu-satunya Negara Islam yang luar biasa.
Boleh dicontohi semua negara. Saya menjalankan tanggungjawab saya mencabar ahli-ahli yang berhormat tempoh hari. Janganlah marah saya kerana saya hanya mewakili ramai rakyat yang mudah diperbodohkan, jahil dan naif yang sentiasa menganggap ahli-ahli yang berhormat bermoral tinggi.
Sebagai orang yang kerdil dalam kapasiti yang saya mampu, saya sangat sayangkan negara yang tercinta ini. Lebih 60 tahun saya mengharungi Negara Islam ini. Terlalu banyak keindahan dan kesempurnaan dilalui yang tidak rela diabaikan begitu saja untuk generasi saya akan datang.
Masalah yang saya ketengahkan adalah perjudian yang berleluasa dihalalkan kerajaan untuk mengkayakan beberapa individu yang telah berjasa kepada negara ini.
Pada pengetahuan saya yang cetek ilmu ini, jika nak dibandingkan dengan ahli-ahli yang berhormat, judi adalah haram mutlak, tiada ketika pun, ia boleh dihalalkan. Sedangkan daging babi boleh dimakan ketika darurat.
Mengapa isu babi kita begitu sensitif sedangkan isu judi yang haramnya lebih berat kita tidak endah? Negara Islam sepatutnya mengambil berat tentang hukum Allah sebelum Allah menurunkan kita dengan malapetaka yang tiada siapa dapat melepaskan diri. Apakah kita tidak rasa takut, malu dan bersalah dengan perbuatan kita?
Cabaran saya tempohari adalah dengan niat suci bagi menyelamatkan negara ini daripada kemurkaan Allah Yang Maha Perkasa. Saya memang tak layak mempersoal kewibawaan ahli-ahli yang berhormat berhujah di Parlimen dengan penuh tanggungjawab. Tetapi, apa daya saya, yang berhormat terlalu besar untuk mendengar apa yang saya katakan.
Kita selalu mendengar kegagalan dasar ekuiti Melayu. Jutaan ringgit diperuntukkan dan entah berapa RMK dibentangkan, tetapi bumiputera tetap di takuk lama menadah simpati di negara sendiri.
Cuba kita buat satu analisis secara orang tidak sekolah:
Satu tahun ada 365 hari. Cabutan empat nombor ekor ada 480 cabutan. Bermaksud, purata sehari satu cabutan dan ada lebihnya.
Yang menabur duit untuk berjudi adalah kebanyakannya golongan Melayu miskin yang berharap keluar daripada kancah kemiskinan yang mereka lalui. Cara lain mereka boleh kaya ialah kalau mereka boleh menjadi wakil rakyat atau konconya.
Siapa yang menguruskan atau taukeh nombor ekor ini? Tentunya yang bukan Melayu Islam dan tidak berhati perut dan berjiwa manusia. Keuntungan daripada satu cabutan anggarannya RM 2 juta untuk satu cabutan.
Melayu bayar cukai judi?
Jadi, jumlah keuntungan minima setahun adalah Ringgit Malaysia Sembilan Ratus Enam Puluh Juta (RM 960 juta) tanpa dicukai kerana cukai judi telah dimasukkan di dalam harga tiket yang dibayar oleh orang Melayu yang berpotensi jadi kaya.
Inilah jumlah dana tahunan hasil sumbangan orang Melayu kepada kebajikan orang bukan Islam. (Pihak Jakim nak dapat sejuta pun banyak soal jawab).
Inikah budaya Negara Islam? Orang Melayu Islam terpaksa bertungkus lumus berkorban dan bersaing, berniaga air dan jambu batu di persimpangan masuk rumah mewah bukan Melayu.
Orang Melayu hantar berpuluh dokumen sokongan untuk menagih pinjaman bank hanya menerima pandangan sinis daripada pegawai bank yang menyatakan, "Encik.. gaji encik tak layak untuk pinjaman ini."
Dengan nada mengharap si pemohon menjawab, "Tak boleh tolong ke dik? Kita orang Melayu nak mula meniaga. Kerajaan kata boleh pinjam bank.".."Tak boleh cik. Bank ini bukan kerajaan punya."
Beza pula dengan Allen Chua yang datang dengan seluar pendek, dari jauh pegawai bank dah tegur, "Allen tak payah berbaris, tak payah ambil nombor sebab bank bukan kerajaan punya." Jadi fikir-fikirlah sendiri apakah kita akan terus membentang dasar memperkasa ekonomi Melayu dan terus dengan agenda..perjuangan belum selesai lagi 50 tahun?
Dengan judi, duit umat Islam terlepas kepada bukan Islam di negara sendiri
Jangan dibiarkan Negara Islam ini tercemar dengan 480 cabutan nombor ekor setahun. Dana terkumpul RM960,000,000 setahun ini disumbangkan untuk memperkasakan dan memajukan kedudukan bukan Melayu di negara ini.
Yang Benar-benar,
Mohd Basir Abdullah
019-6705730
Tamat isi surat itu. Terima kasih kepada Encik Mansor dan Muhammad Lee Abdullah dan lain-lain pihak yang telah menyampaikan buah fikiran yang bernas berhubung judi di negara kita ini.
Kalau mahu disertakan semua catatan orang-ramai berhubung hal ini tak tertulis rasanya. Dan seperkara lagi, masa kita untuk berjuang semakin singkat.
Dalam pengalaman peribadi, kalau kita tumpukan penulisan yang bersifat membanteras membanteras judi dan nombor ekor, nanti tergendala pula dalam membicarakan kaedah-kaedah melawan Israel, isu membantah PPSMI yang belum selesai dan sebagainya.
Di dunia ini, di mana-mana pun, tidak boleh ada satu watak yang boleh membuat segala perkara. Kata asy-Syahid Imam Hasan al-Banna, masa kita terlalu singkat sedangkan ada banyak urusan yang perlu kita bereskan.
Jawatankuasa membantah judi, nombor ekor di mana?
Maka, rasa-rasanya, sidang pembaca yang budiman tentunya mahu bersikap bersungguh-sungguh juga untuk bersekali di dalam hal-hal membanteras hal-hal kemungkaran ini.
Di dalam usaha membantah PPSMI, sudah pun wujud gerakan dan jawatankuasanya untuk melakukan demonstrasi menjelang Februari atau Mac, begitulah saya difahamkan.
Entah jadi atau tidak, kita tidak tahu. Demikian juga dalam usaha membantah kebiadapan Israel ke atas Muslimin di Gaza, Palestin, jawatankuasa telah wujud.
Tetapi, di mana jawatankuasa yang diwujudkan NGO Muslim dalam usaha membanteras amalan berjudi dan nombor ekor ini? Saya tidak tahu..
Jangan kita terlalu bergantung harap kepada penguatkuasa agensi agama sahaja. Kerja pejabat bermula jam 8:00 pagi sehingga 5:00 petang, sedangkan maksiat itu beroperasi tak tentu waktu.
Sementelahan itu, Prof Dr Yusof al-Qaradawi pula lebih yakin dan percaya kepada NGO, badan-badan sukarela untuk membuat kerja dakwah berbanding mereka yang kerja makan gaji dalam hal berdakwah ini.
Syahadan, dalam hal jawatankuasa ini, mungkin kita semua sama-sama patut juga memikirkannya dengan bersungguh-sungguh.
Saya juga telah menawarkan Formula Lanang dalam usaha membanteras judi di dalam kalangan bangsa Melayu. Sejauhmana ia berhasil, tidaklah diketahui. Saya sendiri tidak menyatakan formula itu sebagai penawar keseluruhan kepada tabiat ketagihan berjudi yang berakar lama dalam masyarakat Melayu.
Kata orang, kalau mahu hapuskan judi dan nombor ekor, kena tunggu parti Islam perintah negara. Itu kata orang. Bukan kata Tuhan. Kata-kata manusia ada kelemahan.
Dan, dalam tempoh BN memerintah, kita tidak boleh lagi menunggu parti Islam memerintah. Amalan demokrasi berlangsung 5 tahun sekali sedangkan barah judi menunggu waktu membaham setiap inci anggota tubuh umat Islam hari ini. Kenapa harus ditunggu?
Segala formula yang terbit daripada jawatankuasa kerdil membantah judi ini cuma vaksin dan antidot. Tapi, kita mesti mencuba dan selalu berbincang berhubung hal ini.
Alangkah moleknya kalau dapat berbual-bual di Restoren Haslam atau Restoren Rafiya, bertiga-tigaan, berlima-limaan dengan sekumpulan kecil terlebih dahulu.
Jawatankuasa kerdil membantah judi dan nombor ekor memang tidak ramai yang mahu bersekali dengannya kerana ia tidak popular atau kesannya tidak kelihatan sangat seperti isu Israel menindas rakyat Palestin dan warga sekolah yang terseksa dengan PPSMI.
Tapi, inilah penyakit umat yang sedang dideritai sejak ratusan tahun dahulu melalui acara sabung ayam, laga lembu pada zaman dahulu sebelum Magnum, Toto, Macau, Las Vegas muncul lalu mengambil alih peranan ayam sabung dan lembu laga.
Lantaran gila berjudi, kampung tergadai sehingga disebut orang, menang sorak kampung tergadai. Dalam kisah Nujum Pak Belalang pun, khidmat bomoh digunakan untuk berjudi sehingga umara sanggup pertaruh negaranya sendiri.
Bayangkan betapa buruknya amalan berjudi ini. Atas ketagihan berjudi dan keburukannya inilah, justeru ia diharamkan.
Judi tetaplah judi dan ia haram tanpa mengira masa dan tempat. Khinzir pun harus makan apabila darurat tiada makanan. Arak pun kalau ditunggu sehingga menjadi cuka, maka ia boleh digunakan dalam makanan. Demikianlah dahsyatnya amalan berjudi ini. Judi, tiada kompromi sebenarnya.
Sidang pembaca yang mahu mengirim maklumbalas berhubung idea, saranan dan syor ke atas tulisan ini boleh menulis kepada mohamad.basir@yahoo.comAlamat email ini telah dilindungi dari spam bots, anda perlukan Javascript enabled untuk melihatnya , dan salinan kepada ibnuamir@yahoo.com.Alamat email ini telah dilindungi dari spam bots, anda perlukan Javascript enabled untuk melihatnya
Pautan lain:
http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=18634&Itemid=56 (Surat terbuka kepada MP Melayu, Islam berhubung lesen judi)
http://harakah.hizbi.org/index.php?option=com_content&task=view&id=18668&Itemid=50 (Judi..nombor ekor, barah lama yang tak dicegah sepenuhnya?)
http://wakayat.blogspot.com (Warkah Untuk Rakyat)
11:47 p.m, 12 Januari
Sekolah Pemikiran Kg Baru _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI