Khutbah Jumaat 02 Muharram 1429H/11/01/2008M
Hijrah: Masjid Institusi Penting Dalam Kehidupan
Umat Islam
Oleh: Ustaz Musally Moksin
MUSLIMIN JEMAAH JUMAAT RAHIMAKUMULLAH,
Bertaqwalah kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taqwa. Taqwa tidak akan bermakna sekiranya sekadar pengakuan dilidah semata-mata, tetapi pengakuan itu hendaklah dilaksanakan dan diamalkan sebagaimana yang diperintah oleh Allah SWT serta meninggalkan segala yang dilarang-Nya.
JEMAAH JUMAAT YANG BERBAHAGIA,
Hijrah Baginda Nabi saw bersama Saidina Abu Bakar ra serta umat Islam meninggalkan Makkah berpindah ke Kota Madinah yang terjadi pada 1,429 tahun yang lalu telah tertulis dalam sejarah umat Islam. Peristiwa itu teramat penting bagi umat Islam kerana setelah terjadinya hijrah itu kehidupan umat Islam dan perkembangan Islam bertambah baik dan Islam semakin diterima. Tidak ketika Nabi saw dan umat Islam berada di Makkah. Semasa di bumi Makkah Nabi saw dan umat Islam benar-benar berhadapan dengan cemuhan, ejekan, penindasan dan kezaliman oleh kaum musyrikin Makkah yang dipimpin oleh Abu Jahal.
Hakikatnya hijrah yang dilakukan oleh Nabi saw bersama Saidina Abu Bakar ra serta umat Islam Makkah berpindah ke Kota Madinah telah membuka lembaran baru kepada kehidupan umat Islam dan perkembangan Islam itu sendiri di Madinah dan di seluruh dunia sehingga hari kiamat.
Di Makkah bermulanya benih Islam disemai, namun di Kota Madinah pula merupakan kota tumbuh dan suburnya Islam. Kerana masyarakat pelbagai kaum dan bangsa di Kota Madinah telah menerima kedatangan Nabi saw dan risalah Islam yang dibawa oleh Baginda saw.
Di dalam Al Quran Allah SWT berfirman:
Maksudnya: “Orang yang terdahulu lagi yang pertama-tama (masuk Islam)di antara orang Muhajirin dan Ansar dan orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dan merekapun redha kepada kepada Allah, dan Allah menyediakan bagi mereka syurga yang mengalir sungai-sungai dibawahnya, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Itulah kemenangan yang besar”. (S. At-Taubah, ayat: 100).
JEMAAH JUMAAT YANG BERBAHAGIA,
Kaitan dan hubungan pembinaan masjid pertama, iaitu Masjid Quba’ di Madinah dengan peristiwa hijrah Baginda Nabi saw adalah peristiwa besar yang menjadi kekuatan dan kegemilangan umat Islam dulu, sekarang dan sehingga hari kiamat.
Sebab institusi masjid berperanan luas dalam persekitaran kehidupan umat Islam. Masjid tidak semata-mata menjadi tempat beribadat seperti solat lima waktu dalam bentuk harian, solat Jumaat dalam bentuk mingguan dan solat Sunat dua Hari Raya, Aidil Fitri dan Aidil Adha untuk tahunan. Perlu diingatkan masjid adalah umpama jantung hati umat Islam dan menjadi pusat kehidupan umat Islam. Maka sekiranya masjid benar-benar berperanan sebagaimana ia berperanan di zaman Baginda Nabi saw dan para sahabat dan Tabi’in dahulu, pasti kekuatan, kecemerlangan dan kegemilangan umat Islam akan kembali bersama umat Islam hari ini.
Justeru, masjid berperanan dalam banyak perkara yang berkaitan dengan apa jua aspek kehidupan umat Islam seperti menjadi pusat pendidikan, dakwah, kemasyarakatan, pentadbiran, politik, kebajikan, perundangan, keselamatan, hubungan antara bangsa, termasuk ekonomi dan sebagainya. Dan bersesuaian dengan peredaran zaman, hari ini masjid juga wajar menjadi pusat ICT dan berfungsi sebagai pusat pembangunan modal insan.
Telah terbukti dan diyakini institusi masjid dapat melahirkan modal insan yang bertaraf ‘khaira ummah’ yakni umat Islam terbaik, berjiwa bersih, bertaqwa, sentiasa hampir kepada Allah, hanya takut kepada Allah dan mereka suka memakmurkan masjid. Inilah ciri modal insan yang akan berjaya, cemerlang dan gemilang di dunia dan akhirat.
Ia sejajar seperti yang disebut di dalam Al Quran, Allah SWT berfirman:
Maksudnya: “…Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar taqwa (Masjid Quba’) itu, sejak hari pertama adalah lebih patut kamu mendirikan solat di dalamnya. Di dalamnya ada orang yang ingin membersihkan diri. Dan Allah menyukai orang yang bersih itu”. (S. At-Taubah, ayat: 108).
JEMAAH JUMAAT YANG BERBAHAGIA,
Tugas menjaga dan memakmurkan masjid ialah tugas umat Islam yang beriman. Hal ini dinyatakan oleh Allah SWT di dalam Al Quran, firman-Nya:
Maksudnya: “Hanya yang akan memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, serta tetap mendirikan solat, menunaikan Zakat dan tidak takut (kepada sesiapa) selain kepada Allah, maka merekalah orang yang diharapkan akan termasuk dalam golongan orang yang mendapat hidayah”. (S. At-Taubah, ayat: 18).
Ayat ini menyenaraikan lima ciri asas umat Islam yang akan memakmurkan masjid, iaitu:
1. Beriman kepada Allah
2. Beriman dengan hari akhirat
3. Mendirikan Solat
4. Menunaikan Zakat
5. Takut kepada Allah
Allah SWT berfirman lagi:
Maksudnya: “Dan sesungguhnya masjid-masjid itu adalah milik kepunyaan Allah. Maka janganlah kamu menyembah seorangpun di dalamnya disamping (kamu menyembah) Allah”. (S. Al-Jin, ayat: 18).
Pengajaran dari ayat Al Quran ini ialah modal insan atau golongan yang dididik, diasuh, dibesarkan dan hidupnya sentiasa memakmurkan masjid-masjid Allah merupakan modal insan yang akan berjaya memakmurkan dunia. Malah mereka akan menjadi pemimpin dan pentadbir yang baik dan amanah di pejabat, sekolah, pasar raya, bank, syarikat dan lain-lain organisasi. Di rumah, mereka juga akan menjadi pemimpin/suami yang baik, berjaya dan diberkati. Jika mereka berada dalam masyarakat mereka akan menjadi pemimpin yang amanah, diredhai dan diberkati di sisi Allah SWT.
Oleh itu, umat Islam adalah dianjurkan supaya memakmurkan masjid-masjid dan juga surau-surau, kerana inilah kehidupan dan amalan terbaik umat Islam untuk mencapai status ‘khaira ummah’ yang dijanjikan oleh Allah SWT.
JEMAAH JUMAAT YANG BERBAHAGIA,
Ketahuilah, sesungguhnya masjid merupakan institusi pertama yang dibina oleh Nabi saw ketika mula-mula tiba di Kota Madinah. Ini menunjukkan bahawa masjid amat penting dan besar pengaruhnya dalam kehidupan umat Islam dalam pembentukan modal insan yang berstatus ‘khaira ummah’ , yakni ummah terbaik, berjaya, cemerlang dan gemilang sama seperti yang dinyatakan oleh Allah SWT di dalam Al Quran, sebagaimana firman-Nya:
Maksudnya: “Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk manusia, (kerana) kamu menyuruh kepada yang makruf dan melarang dari perbuatan mungkar serta kamu beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Sekiranya Ahli Kitab itu beriman , tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka adalah orang yang fasik”.
(S. Ali ‘Imran, ayat: 110).
Demikianlah, kehebatan dan kesan besar pengaruh institusi masjid jika ia benar-benar hidup dan berperanan dalam kehidupan umat Islam, sebagaimana umat Islam di zaman Baginda Nabi saw dan zaman para sahabat serta Tabi’in dibentuk melalui institusi masjid. Mudah-mudahan umat Islam hari ini termasuk dalam golongan yang memakmurkan masjid-masjid Allah, suka membersihkan diri, takut kepada Allah dan menjadi ummah
Diterbitkan oleh:
Bahagian Penyelidikan dan Informasi
Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI